Lebih 1,000 pelajar dapat 10A SPM di Johor - Utusan Malaysia

Lebih 1,000 pelajar dapat 10A SPM di Johor

Sebahagian pelajar cemerlang Sekolah Sultan Ismail (SSI), Johor Bahru yang mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diduduki meraikan kejayaan mereka pada pengumuman keputusan SPM 2021 di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Seramai 1,122 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang 10A dalam semua mata pelajaran yang diduduki. 

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md. Said Md. Daimon berkata, daripada jumlah itu, seramai 30 calon mendapat semua A+ bagi mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, bilangan calon mendapat kepujian sekurang-kurangnya 1C adalah seramai 6,031 orang, manakala seramai 12,118 calon memperoleh sekurang-kurangnya 1G.

“Pencapaian calon SPM 2021 merupakan kohort pertama menduduki peperiksaan menggunakan format baharu pentaksiran dan peperiksaan. Prestasi ini menunjukkan kualiti calon cemerlang di negeri Johor.

“Berdasarkan pencapaian SPM 2021, terdapat 53 sekolah di Johor telah mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil yang meliputi sekolah-sekolah bandar dan luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Md. Said berkata, secara keseluruhan terdapat seramai 43,253 calon hadir menduduki peperiksaan pada tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya,  seramai 37,846 calon layak mendapat sijil, bersamaan dengan 87.5 peratus.

“Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada 2021 adalah 4.75. Ia tak boleh dibandingkan dengan pencapaian tahun lalu kerana format berbeza.

“Gred Purata Sekolah (GPS) bagi semua 70 buah sekolah kategori luar bandar ialah 4.87 dengan 82 calon memperoleh semua A dan GPS bagi 205 sekolah kategori luar bandar ialah 4.73 dengan 1,040 calon cemerlang semua A,” katanya. 

Katanya, lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama memperoleh GPS 2.48 dengan 25 pelajar cemerlang semua A, manakala 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan memperoleh GPS 3.56  dengan 31 calon cemerlang. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya