BACHOK: Pelajar Orang Asli diberi laluan khas menyambung pengajian Ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berasaskan kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysian (STPM) yang dicapai sejak 2019 lalu.
UMK juga mengalu-alukan pelajar yang bakal menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 16 Jun ini turut merebut peluang memohon Program Pengajian pengajian Asasi bidang Asas Sains dan Sains Sosial di universiti berkenaan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, 300 pelajar lepasan SPM diperlukan bagi pengajian berkenaan bermula Julai depan.
Menurutnya, sebelum ini UMK hanya membuka peluang kepada pelajar lepasan STPM bagi pengajian peringkat sarjana muda sahaja.
“UMK bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan kaunselor sekolah di kawasan pedalaman untuk menyampaikan maklumat dan membantu anak Orang Asli menjejak kaki ke menara gading.
“Manakala untuk program asasi tahun ini pelajar yang berminat termasuk Anak Orang Asli perlu memohon segera melalui Unit Pusat Universiti (UPU) bagi membolehkan mereka belajar di UMK Kampus Jeli,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Penutup Program Jom Masuk IPT di UMK Kampus Bachok, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Nik Maheran berkata setakat ini hanya lima pelajar Orang Asli mengikuti pengajian di Fakulti Agrotani dan Fakulti Pelancongan dan Hospitaliti UMK Kampus Jeli.
Menurutnya, usaha menambah bilangan mereka perlu dilakukan secara berterusan termasuk bekerjasama dengan Tok Batin yang bertindak sebagai pembakar semangat dan menjadikan anak-anak mereka sebagai idola penuntut ilmu dalam masyarakat berkenaan.
“Pembelajaran bersemuka dalam fasa endemik adalah penyelamat kepada pelajar Orang Asli kerana sebelum ini mereka sukar untuk belajar secara maya.
“Kita (UMK) memahami kekangan liputan jalur lebar di perkampugan mereka yang menggagalkan mereka mengikuti kuliah dan peperiksaan secara maya sepanjang Pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya. –UTUSAN ONLINE