KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini masih stabil walaupun timbul khabar angin yang mengaitkan sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Ismail Sabri berkata, hal ini kerana bukan sahaja komponen Perikatan Nasional (PN) seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, malah Pakatan Harapan (PH) terus memberikan sokongan terhadap kerajaan hari ini.
Tambahnya, beliau tidak mengetahui butiran mesyuarat Bersatu yang dikatakan membincangkan terhadap kedudukan sebagai Perdana Menteri walaupun telah dinafikan pemimpin parti tersebut.
“Ada khabar angin kata ada bincang tetapi dinafikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu apabila beliau segera mengatakan tiada perbincangan.
“Tiada isu kestabilan, malah politik masih stabil dan tiada komen negatif membabitkan pemimpin tertentu.
“Kerajaan sekarang mahu tumpu isu ekonomi, bekalan dan inflasi yang dihadapi oleh seluruh dunia, kita cuba atasi masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 8 Jun lalu antara lain membincangkan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Sumber mendedahkan, perkara itu antara dua cadangan yang didakwa dinyatakan sendiri oleh kalangan pemimpin parti tersebut dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, jika boleh Bersatu mahu bincang sekarang kedudukan Ismail Sabri kerana jika Bersatu dapat sokongan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), ini menyebabkan kerajaan Ismail Sabri boleh bertukar tanpa diadakan pilihan raya.
Ketika ditanya ura-ura tarikh pilihan raya umum (PRU), Ismail Sabri berkata, tiada mana-mana Perdana Menteri yang membincangkan tarikh pilihan raya secara terbuka termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Ini memberi kesan kepada kestabilan politik kalau selalu membincangkan. Ini akhirnya membuat kita fokus pilihan raya berbanding menguruskan soal negara.
“Tetapi pilihan raya tetap ada dan semakin hari, kita semakin dengan pilihan raya,” jawab beliau. –UTUSAN ONLINE