Keputusan SPM luar biasa bukti guru Malaysia hebat - Wan Rosdy  - Utusan Malaysia

Keputusan SPM luar biasa bukti guru Malaysia hebat – Wan Rosdy 

WAN Rosdy Wan Ismail (tengah, baju Melayu merah) menyampaikan cenderahati kepada Tokoh Guru Pahang 2022, Datin Seri Fatimah Kassim sempena Sambutan Hari Guru Pahang di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang luar biasa membuktikan guru di negara ini hebat walaupun perlu berhadapan kekangan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pandemik Covid-19 mempengaruhi proses pembelajaran pelajar kepada pendidikan secara dalam talian dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). 

Katanya, para guru tidak panik dengan situasi itu tetapi sebaliknya komited menyediakan bahan pengajaran kepada pelajar dengan apa cara sekali pun.

“Walaupun proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terhad ekoran Covid-19, ia bukan halangan kepada guru-guru menyediakan bahan pengajaran kepada calon SPM 2021.

“Buktinya pencapaian luar biasa dalam SPM 2021 dan keputusan ini tidak boleh dipertikai kerana diiktiraf pihak berintegriti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, menjadi keutamaan kerajaan Pahang dalam memastikan perkembangan dan peningkatan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan RM52 juta bantuan pendidikan kepada 61,721 pelajar anak Pahang pada 2021.

“Daripada jumlah itu, RM18.8 juta untuk Biasiswa Sekolah Menengah melibatkan 31,751 penerima, RM6.3 juta Biasiswa Sekolah Rendah membabitkan 21,002 penerima dan RM3.6 juta lagi untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan Anak Pahang,” katanya. 

Beliau berkata, sehingga kini Yayasan Pahang telah membelanjakan kira-kira RM1.34 bilion yang memberikan manfaat kepada 1.7 juta anak-anak negeri dalam pelbagai peringkat pendidikan. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya