Keluarga Dnars buat laporan SPRM - Utusan Malaysia

Keluarga Dnars buat laporan SPRM

MOHD. Faisal Rohban Ahmad (tengah) semasa membuat laporan berhubung tindakan membawa pulang jenazah kakaknya tidak mempunyai tatacara di pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung prosedur membawa pulang jenazah usahawan itu yang maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019 lalu.

Tindakan itu susulan keluarga mendakwa jenazah Faziani dibawa pulang ke negara ini tidak mengikut tatacara.

Laporan SPRM itu dilakukan oleh abang sulung mangsa, Mohd. Faisal Rohban Ahmad, 48, pada pukul 3 petang menerusi firma guaman Shaharuddin Hidayu & Marwaliz.

Peguambela dan Peguamcara Lt Kol (B) Azhar Ahmad, berkata, proses membawa pulang jenazah ke tanah air itu menimbulkan keraguan selepas dilakukan pada hari yang sama dengan kemalangan iaitu pada 18 Mei 2019.

Menurutnya, tindakan itu didakwa mempunyai unsur ketidakpatuhan kepada prosedur.

“Untuk makluman, salah satu syarat wajib dalam urusan membawa pulang jenazah yang meninggal dunia di luar negara adalah mempunyai surat kebenaran daripada pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla, Thailand.

“Namun dalam kes ini tiada dikeluarkan surat berkenaan. Begitu juga dengan tempoh yang singkat untuk urusan membawa pulang jenazah,  kebiasaannya mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari tetapi tidak sampai 12 jam jenazah sudah tiba di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Azhar memberitahu, pihaknya juga sudah ke Wisma Putra di Putrajaya dan mendakwa mempunyai pengesahan daripada seorang pegawai di sana bahawa urusan membawa pulang jenazah tidak mengikut prosedur sebenar.

Katanya, susulan daripada maklumat itu pihaknya menasihati anak guam untuk membuat laporan kepada SPRM kerana mengesyaki ada unsur ketidakpatuhan.

“Laporan lengkap sudah dibuat dan kami berharap pihak SPRM dapat menjalankan siasatan terperinci.

“Hal ini supaya, keluarga dapat mengetahui apa yang berlaku sebenarnya,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Faisal berharap siasatan segera dapat dijalankan bertujuan mengelakkan timbulnya masalah di kemudian hari.

Katanya lagi, proses pengurusan  pulang jenazah adiknya yang cepat amat melegakan tetapi pada masa yang sama ia menimbulkan keraguan keluarga.

“Hal ini kerana keluarga kami tiada di lokasi kejadian serta sepanjang urusan tersebut. Ia berlaku terlalu pantas sedangkan arwah bapa kami yang meninggal dunia di luar negara dahulu mengambil masa paling kurang dua hari sebelum dibenarkan untuk dibawa pulang.

“Apabila berlaku terlalu cepat dan ia memang satu audit yang bagus tapi dibimbangi menimbulkan masalah di kemudian hari,” katanya.

Utusan Online 16 Jun lalu melaporkan keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat bagi menuntut siasatan lebih terperinci berkait kematian Faziani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya