Kekurangan bekalan panadol sejak setahun lalu - Utusan Malaysia

Kekurangan bekalan panadol sejak setahun lalu

SALAH seorang pekerja farmasi menunjukkan bekas panadol yang kosong akibat kekurangan bekalan sejak setahun lalu di Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Beberapa jenis ubat khususnya paracetamol atau ‘panadol’ di negeri ini mengalami kekurangan atau terputus bekalan sejak lebih setahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa farmasi swasta di sini mendapati terdapat kekurangan bekalan bagi sesetangah jenama ubat demam, paracetamol dan ubat semburan oral, Aloclair Spray yang digunakan untuk penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

Rata-rata petugas farmasi yang ditemui memberitahu, ‘panadol’ biasa jenis 500mg dan ActiFast sudah mengalami kekurangan bekalan sejak setahun lalu, manakala ubat semburan oral pula sejak April.

Pekerja farmasi, Nur Ajannah Sabri, 26, berkata, pada masa ini, stok beberapa jenis panadol tidak ada dan perkara tersebut sudah berlarutan hampir setahun.

“Kalau dapat stok daripada pembekal pun agak sedikit dan habis dengan cepat kerana kebanyakkan pelanggan akan beli sekotak sekali gus.

“Sementara itu, ubat Aloclair Spray yang digunakan oleh pesakit HFMD pula telah terputus bekalan sejak April lagi. Pelanggan yang datang memang ada merungut tapi kami tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Sementara itu, pekerja sebuah lagi farmasi yang hanya mahu dikenali sebagai Jamilah, 49, pula berkata, seperti negeri-negeri lain, Perlis juga berdepan kekurangan bekalan ubat demam dan semburan oral.

“Bukan farmasi kami sahaja yang tidak ada, klinik dan hospital juga tidak ada bekalan ubat ini. Apabila kami membuat tempahan daripada pembekal, mereka hanya memberitahu bekalan tidak ada.

“Oleh itu, saya berharap kerajaan dapat memandang serius perkara ini dan mencari mekanisme mengatasi masalah kekurangan bekalan ubatan asas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Sirajuddin Hashim ketika ditemui pada Majlis Pelancaran MyChampion peringkat negeri memberitahu, pihaknya tidak menerima aduan rasmi daripada farmasi berhubung masalah kekurangan bekalan ubatan asas ini.

“Seperti yang dinyatakan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A Halim, mungkin ubat dan kawasan tertentu sahaja yang mengalami bekalan yang tidak mencukupi. Kita mempunyai pilihan, tidak semestinya ubat-ubat yang sama sahaja digunakan untuk membantu simptom-simptom penyakit tersebut.

“Buat masa ini, bekalan ubat di hospital dan klinik kesihatan di negeri juga tidak mempunyai masalah. Mungkin kerana kes HFMD di Perlis tidak terlalu tinggi seperti di negeri lain. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya