Kekal jual sate RM1 secucuk - Utusan Malaysia

Kekal jual sate RM1 secucuk

Mohd. Lokman menyediakan sate untuk dibakar bagi tempahan pelanggan di gerainya di hadapan sebuah restoran di Jalan Kukup, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Sate merupakan makanan sampingan pada waktu malam dan sarapan bagi penduduk di Muar, namun kenaikan bahan mentah menyebabkan pengusahanya bimbang jualan mereka mungkin akan berkurangan.

Bagaimanapun, bagi Satay Wak Hassim, Puteri Menangis yang telah beroperasi 30 tahun lalu, tetap mengekalkan harga secucuk RM1 sama ada sate ayam atau daging.

Menurut Mohd. Lokman Mohd. Hassim, 40, yang menjalankan perniagaan di hadapan Restoran Assalam Pontian , dia dan bapanya, Mohd. Hassim Kasnon, 84, belum terfikir untuk menaikkan harga.

Selain minyak masak, bahan asas utama seperti ayam dan daging ketika ini mengalami kenaikan harga, namun mereka masih mengekalkan harga lama berbanding peniaga lain.

“ Kami tahu, ada peniaga yang menjualnya dengan harga RM1.20 secucuk bagi sate ayam dan lembu, manakala sate kambing RM1.80 bagi menampung kos modal yang bertambah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dia yang sebelum ini bekerja di Singapura pada 2017 hingga 2018 dengan memperoleh pendapatan S$1,600 atau kira-kira RM3,000, bersyukur telah berhenti kerja di negara tersebut sebelum pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada tahun 2019.

“Kalau masih kerja di sana, mungkin saya terkurung selama dua atau tiga tahun di sana,” katanya.

Katanya, bagi jualan di bandar Pontian, dia hanya membawa kira-kira 400 hingga 500 cucuk sate ayam dan daging berbanding bapanya yang mampu menjual sehingga 3,000 cucuk sehari.

Menurut Mohd. Lokman, bapanya hanya menjual seminggu sekali, iaitu pada hari Rabu di Pekan Sanglang dengan menggunakan motosikal dari rumahnya di Kampung Puteri Menangis.

“Abah telah mempunyai pelanggan tetap yang sentiasa menanti untuk membeli sate Wak Hassim di tapak perniagaannya di kawasan Pasar Lambak Pekan Sanglang sebelum ditutup,” ujarnya.

Dia yang merupakan seorang bapa tunggal menjalankan perniagaan dengan menyewa tapak RM15 sehari dengan pengusaha restoran tersebut bermula dari pukul 5 petang hingga 11 malam kecuali hari Isnin.

Dia yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menjadikan penjualan sate sebagai kerja tetap sejak tiga tahun lalu selepas kembali dari Singapura.

Walaupun tidak semewah gaji yang diterima di Singapura sebelum ini, namun dia mampu memperoleh pendapatan yang agak baik bergantung kepada permintaan pelanggan setiap hari.

“Seiring dengan cita rasa pengguna, saya turut menyediakan penghantaran kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan penghantaran di kawasan Pontian, Kukup, Pekan Nanas dan Ayer Baloi,” tambahnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya