KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki yang sebelum ini ditidurkan akibat kandungan dadah tinggi dalam badannya sudah mula memberikan respon positif dengan menggerakkan kedua-dua belah kakinya.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Rohaya Hassan, 36, berkata, perkembangan positif yang ditunjukkan oleh anaknya itu amat melegakan.
Menurutnya, dia memanjatkan rasa syukur kepada yang Maha Esa dengan perubahan tersebut sejak anak menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
“Malam tadi, saya kerap menjenguk anak. Selagi anak saya tidak buka mata, perasaan bimbang itu akan ‘bertapak’ di lubuk hati ini.
“Saya berharap orang ramai dapat menitipkan doa supaya anak kembali sembuh seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan seorang kanak- kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal selepas badannya mengandungi dadah jenis methamphitamine kini terpaksa ditidurkan apabila keadaannya semakin lemah.
Kejadian itu disedari oleh ibunya kira-kira pukul 5 pagi pada Isnin apabila mendapati kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan lemah dan muka bertukar biru sebelum membawanya ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai untuk menerima rawatan. –UTUSAN