BAGAN SERAI: Seorang peniaga di sini menawarkan tiga tan durian pelbagai jenis pada harga RM1.99 sekilogram dan habis dijual dalam masa hanya kira-kira sejam.
Peniaga tersebut, Ahmad Suhaimi Abdul Razak, 40, yang menjalankan perniagaan di Jalan Raja Syed Thauphy di sini berkata, dia menjual pelbagai jenis durian pada harga serendah RM1.99 sekilogram dengan hasrat semua golongan penggemar durian terutama golongan B40 dapat menikmati durian dengan harga yang mampu beli.
Menurutnya, setiap kali musim durian, dia akan menjual durian pada harga bermula RM1.99 hingga RM5.99 sekilogram.
“Sambutan memang di luar dugaan, malah dengan harga serendah RM 1.99, durian habis terjual setiap hari dalam masa hanya lebih kurang sejam,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Ahmad Suhaimi, dia membeli durian secara borong daripada pekebun yang juga merupakan rakan dan kenalannya di sekitar Ijok, Selama dan Balik Pulau, Pulau Pinang.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan datang awal ke tapak niaga di sini untuk menunggu lori sampai pada pukul 2 petang setiap hari.
“Kadang-kadang pemandu lori tak sempat nak menurunkan buah dari atas lori, pelanggan sudah mula memilih buah durian mengikut kehendak mereka,” katanya.
Ahmad Suhaimi berkata, ada peniaga durian yang datang dari luar Daerah Kerian merungut dan mempertikaikan tentang harga murah sehingga serendah RM1.99 yang dia tawarkan kepada pelanggannya.
Menurutnya, dia menjual pada harga rendah kerana menyedari kebanyakkan pelanggan dari kalangan golongan yang kurang berkemampuan.
“Memang ada peniaga dari luar Bagan Serai datang ke sini dan menegur tentang harga yang saya tawarkan.
“Saya beritahu mereka kebanyakkan pelanggan merupakan warga setempat yang berpendapatan rendah seperti pekerja kilang dan pesawah padi.
“Memahami situasi kemampuan golongan itu, maka saya tawarkan dengan harga serendah ini supaya mereka dapat membeli dan menikmatinya bersama keluarga,” katanya.
Jelasnya, dia menjual durian dengan harga serendah itu pada setiap kali musim raja buah dan sudah hampir tiga tahun.
Katanya, pelanggan perlu pandai memilih buah kerana ada diantaranya mempunyai gred yang tersendiri.
“Setiap kali buah durian sampai, saya beritahu pelanggan supaya memilih buah durian yang hendak dibeli kerana buah yang dibawa daripada berbagai jenis gred.
“Untuk harga RM1.99 ada buah kampung namun ada juga dari gred D24 dan IOI, jadi kena pandai pilih dan mengikut rezeki masing-masing,” katanya
Selain harga RM1.99, dia juga menjual durian pada harga RM3.99 dan RM5.99 sekilogram iaitu buah durian gred tinggi dan berisi kuning. –UTUSAN ONLINE