KANGAR: Industri buku termasuk fungsi perpustakaan tetap relevan meskipun tercetusnya pelbagai teknologi pembacaan terkini seperti e-book dan sebagainya.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pencarian maklumat cara konvensional mungkin dianggap ketinggalan, namun, jika diamati secara mendalam, ia masih banyak membantu.
Titah baginda, perpustakaan tetap bergerak seiring dengan perkembangan semasa apabila menggunakan gajet-gajet sebagai sebahagian daripada komponen maklumat dalam usaha menyebarkan ilmu pengetahuan.
“Selain itu, kepesatan dan percambahan maklumat hari ini juga mencetuskan pelbagai idea baharu dalam reka bentuk gajet-gajet terkini,” titah baginda merasmikan Pesta Buku Perlis dan Karnival Pembaca 2022 di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis di sini hari ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta turut dihadiri Ketua Pengarah Perpustakaan negara, Salasiah Abdul Wahab dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam negeri, Azizi Janan.
Sementara itu, baginda bertitah, fasa endemik merangsang kembali dunia untuk terus berkembang semula.
Justeru, baginda menyarankan agar setiap jabatan berusaha dalam mempromosikan perkhidmatan masing-masing secara berterusan.
“Selain itu, pertingkatkan kualiti dan keberkesanan kepada masyarakat walau dalam apa jua keadaan dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini.
“Adalah menjadi pembaziran jika perkhidmatan yang tersedia itu tidak digunakan semaksimum mungkin dan jabatan perlu sentiasa berusaha menyediakan perkhidmatan terbaik,” titah baginda.
Menyentuh mengenai pesta buku Perlis tersebut, baginda bertitah, program berkenaan boleh dijadikan contoh atas usaha dilakukan oleh perpustakaan sejak sekian lama.
Sebagai rekod, pada tahun 2020, sejumlah 28,568 pengunjung hadir ke Pesta Buku Perlis.
“Sukacita saya berharap agar seluruh masyarakat mengambil peluang melibatkan diri dalam program galakan membaca anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam negeri ini,” titah baginda. –UTUSAN ONLINE