KUANTAN: Seekor harimau kumbang jantan seberat 60 kilogram yang berkeliaran di pinggir Kampung Peruang, Benta, Lipis berjaya ditangkap dan dipindahkan ke habitat lain oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di sini.
Jurucakap Perhilitan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran di laman sosial Facebook berkata, operasi tangkapan dan pemindahan haiwan liar tersebut dilaksanakan pada 6 Jun lalu melibatkan penugasan kaki tangan Perhilitan Lipis dengan kerjasama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Jenderak Selatan, Pahang.
“Operasi tangkapan ini dilakukan berikutan aduan penduduk tentang seekor harimau kumbang berkeliaran di beberapa kawasan kebun sawit Kampung Peruang, mukim Budu, Lipis sejak 11 Mei lalu.
“Pemeriksaan kesihatan ke atas harimau kumbang seberat 60 kilogram ini menunjukkan haiwan ini dalam keadaan sihat dan baik,” katanya menerusi hantaran dalam laman sosial tersebut.
Menurut jurucakap Perhilitan lagi, harimau tersebut selamat dipindahkan serta dilepaskan ke habitat yang sesuai pada hari yang sama selepas operasi tangkapan dilakukan.
Katanya, Perhilitan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan hidupan liar berkeliaran di tempat masing-masing supaya menghubungi talian hotline Jabatan Perhilitan di 1-800-88-5151 untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, seorang penduduk Peruang, Benta, Mahmud Ishak, 55, berkata, sejak kemunculan harimau kumbang pertengahan bulan Mei lalu ditemukan oleh beberapa orang penduduk berkeliaran di ladang sawit berdekatan kampung ini.
“Situasi ini menyebabkan saya dan penduduk di sini tidak dapat keluar bekerja hampir sebulan bimbang dengan ancaman keselamatan masing-masing.
“Saya amat berterima kasih kepada Perhilitan yang berjaya menangkap dan memindahkan haiwan liar ini ke tempat lain. Penduduk di sini tidak lagi berasa bimbang untuk keluar bekerja di ladang sawit dan getah berdekatan kampung ini,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE