Guru sekolah dinobatkan Unduk Ngadau 2022 - Utusan Malaysia

Guru sekolah dinobatkan Unduk Ngadau 2022

FRENERIETTA Sobitun (tengah) dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2022 di Hongkod Koisaan, KCDA Penampang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Frenerietta Sobitun yang mewakili daerah Sandakan dinobatkan sebagai pemenang Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) 2022 setelah menewaskan 43 peserta lain.

Frenerietta, yang juga seorang guru sekolah rendah berusia 25 tahun itu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM122,529 dan mengambil-alih takhta UNK daripada pemenang UNK 2021, Maya Hejnowska.

Tampil dengan pakaian asli Dusun Labuk, beliau berjaya menewaskan enam peserta pada pusingan akhir dengan kepetahan beliau berbahasa ibunda semasa menjawab soalan dikemukakan pada dua pusingan semalam.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, beliau akan menggalas tanggungjawab sebagai UNK dengan sebaiknya dan cuba membahagikan masa antara kerjaya seorang guru dan peranannya sebagai Unduk Ngadau.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini selepas pertama kali menjejakkan kaki ke KDCA dan ini hadiah berharga untuk keluarga saya.

“Saya harap golongan muda lebih berani tampil di hadapan orang dan bertutur bahasa ibunda agar ia tidak lenyap ditelan zaman,” katanya selepas dinobatkan sebagai UNK 2022 semalam.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Esther Marius mewakili Papar dan tempat ketiga milik Deedee Cassandra Dallius mewakili Ranau. Mereka masing-masing membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM62,779 dan RM75,319.

Sementara itu, tempat keempat hingga ketujuh masing-masing dimenangi oleh Carolyn Tony (Penampang), Allveanna Loimin (Kiulu), Evanatie Sannie (Kota Marudu) dan Sylvernie Belinda Engelbert (Inanam).

Pertandingan Unduk Ngadau diadakan bagi menyemarakkan semangat pengorbanan Hominodun yang sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).

Pertandingan UNK 2022 diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan disiarkan secara langsung melalui Facebook TV Sabah.

Pada Malam Gala UNK 2022 yang diadakan pada 29 Mei lalu, Sylvernie Belinda (Inanam) dinobat sebagai Tati Topiodo (Miss Natural Beauty), Anya Kimberly (Paitan) memenangi gelaran Tati Tosuau (Miss Friendly) manakala, Carolyn Tony (Penampang) memenangi gaun malam terbaik dan menerima gelaran Basaan Tinandai Togingo. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya