Gandingan PTPTN, YPM perkasa pendidikan pelajar golongan asnaf - Utusan Malaysia

Gandingan PTPTN, YPM perkasa pendidikan pelajar golongan asnaf

WAN Saiful Wan Jan (dua dari kanan) menyerahkan zakat RM150,000 kepada Mohd. Razman Yaacob pada majlis pengumuman kerjasama antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) tekad membantu pelajar daripada golongan asnaf melalui jalinan kerjasama antara
kedua-dua agensi itu.

Kerjasama tersebut termasuk PTPTN akan menjadi rakan penyumbang pendidikan YPM hingga tahun 2026.

Pengumuman program kerjasama antara dua badan tersebut diadakan di Menara PTPTN di sini hari ini.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, untuk itu perbadanan berkenaan memberikan sumbangan zakat berjumlah RM150,000 kepada YPM dalam merealisasikan matlamat kerjasama antara dua badan tersebut.

Jelasnya, jalinan kerjasama buat pertama kali itu bukan sahaja membantu membangunkan pendidikan negara tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ini adalah kolaborasi yang pertama antara PTPTN dan YPM. Ia adalah usaha untuk membantu membangunkan pendidikan masyarakat khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

“Sebagai agensi berperanan penting bagi memperkasakan agenda pendidikan negara, kerjasama ini amat tepat terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan sosial ekonomi masyarakat ketika suasana ekonomi yang masih berada di fasa pemulihan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Wan Saiful berkata, daripada nilai tersebut sebanyak RM74,000 diberikan untuk menjayakan program Pintar@KPLB-PTPTN dan RM72,000 untuk menjayakan program skim anak angkat PTPTN.

Sebanyak RM4,000 pula diberikan bagi sumbangan akaun simpan SSPN Prime kepada penerima.

“Program Pintar@KPLB-PTPTN ini akan dilaksanakan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi dan Kuala Krai dengan mengadakan kelas bimbingan kepada 200 pelajar pada tahun ini.

Program tersebut akan memberi ruang serta peluang kepada pelajar golongan B40 untuk mendapatkan akses bimbingan secara percuma.

“Bagi program skim anak angkat pula, PTPTN memberi sumbangan elaun persekolahan kepada 20 anak angkat terpilih yang berumur 13 tahun selama tiga tahun iaitu bermula dari tingkatan satu hingga akan menerima elaun persekolahan
sebanyak RM1,200 setiap tahun.

“Selain itu, setiap daripada mereka akan diberikan sumbangan dalam bentuk akaun simpanan SSPN Prime secara one-off iaitu sebanyak RM200,” katanya.

Beliau berharap jalinan kerjasama tersebut dapat memberi manfaat kepada para pelajar dari kalangan ibu bapa golongan B40 iaitu di bawah kategori fakir, miskin dan fisabilillah.

“Diharapkan juga pemberian sumbangan PTPTN ini mampu mengurangkan beban kewangan mereka yang memerlukan malah mampu menyemai kesedaran menabung dan mendidik literasi
kewangan yang baik dalam kalangan pelajar,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi YPM, Datuk Mohd. Razman Yaacob berkata, program itu bermatlamat meningkatkan prestasi pendidikan bagi setiap pelajar yang terpilih.

“Saya yakin dengan kolaborasi ini, YPM dengan kerjasama PTPTN mampu melahirkan pelajar yang berjaya dan berkebolehan dalam apa jua bidang.

“Malah, bukan sahaja setakat berkebolehan dalam pelajaran tetapi juga berkerjaya hebat dan mempunyai kemahiran tinggi pada masa depan iaitu sesuai dengan kemajuan serta pembangunan
negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya