Facebook, YouTube bantu mata pelajaran yang lemah anak pasangan guru Felda Kota Gelanggi Dua - Utusan Malaysia

Facebook, YouTube bantu mata pelajaran yang lemah anak pasangan guru Felda Kota Gelanggi Dua

MOHD. JUSNI Yusof (kanan) dan Azizah Abu Hanifah sedang melihat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak mereka, Afif Jazimin di kuarters guru Felda Kota Gelanggi Dua di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pembelajaran secara dalam talian serta mengakses maklumat menerusi laman sosial Facebook dan YouTube yang dikendalikan guru sukarela dan pusat tuisyen luar banyak membantu seorang pelajar, Afif Jazimin Mohd. Jusni, 18, memperoleh kejayaan 7A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Afif Jazimin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini berkata, menyedari kelemahannya dalam subjek Matematik dan bahasa Inggeris sejak di Tingkatan Empat lagi, dia bertekad menggandakan usaha dengan melayari internet mencari guru sukarela dan pusat tuisyen yang menawarkan pengajaran dan pembelajaran berkenaan.

“Saya cuma mendapat A dalam dua mata pelajaran, iaitu bahasa Melayu dan Sejarah semasa ujian percubaan dan setiap kali ujian sumatif sebelum peperiksaan sebenar, manakala mata pelajaran lain hanya sekadar lulus sahaja menyebabkan perlu menggandakan usaha menerusi pencarian pembelajaran tambahan.

“Selepas sesi Pengajaran Pembelajaran di Rumah (PdPR) harian yang dikendalikan oleh guru, saya mengulang kaji mata pelajaran yang lemah menerusi laman sosial Facebook dan laman web pusat tuisyen luar dan guru sukarela,” katanya ketika ditemui di kuarters guru Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini hari ini.

Anak sulung kepada pasangan guru, Mohd. Jusni Yusof, 44, dan Azizah Abu Hanifah, 44, memperoleh ‘A’ dalam mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Pertanian dan Perniagaan, manakala ‘B’, Matematik.

Katanya, belajar di rumah menerusi PdPR ketika tempoh penularan pandemik Covid-19 berdepan banyak cabaran dan perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan tidak mudah patah semangat serta berdisiplin memandangkan dirinya mempunyai kelemahan tertentu.

“Saya bangun pada pukul 4 pagi setiap hari dengan mengakses maklumat di internet dengan mengikuti (rakaman) pembelajaran yang dikendalikan oleh guru luar dan pusat tuisyen sehinggalah menjelang waktu solat Subuh.

“Keseluruhannya pembelajaran secara dalam talian serta kemudahan mengakses maklumat tertentu banyak membantu saya sehingga memperoleh kejayaan ini,” katanya.

Afif Jazimin yang aktif sebagai ketua platun Kadet Polis dan bola sepak mewakili sekolah itu seterusnya berterima kasih serta menghargai kedua ibu bapanya yang sentiasa ‘meniupkan’ semangatnya untuk belajar termasuk guru SMK Felda Kota Gelanggi Dua yang cukup komited memberikan tunjuk ajar menerusi PdPR.

“Saya berhasrat untuk menjadi seorang pendidik amat berminat dengan bidang Pendidikan Khas dan Prasekolah dan diharap permohonan saya ke Institusi Pendidikan Guru berjaya diterima masuk nanti,” katanya.

Sementara Mohd. Jusni, guru bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua mengakui pembelajaran berpandukan internet banyak memberi kesan perubahan peningkatan pelajaran anaknya yang lemah sehinggalah memperoleh ‘A’ dalam peperiksaan SPM.

“Sebagai penjaga, saya membantunya mengakses di laman sosial pusat tuisyen berbayar termasuk guru yang berpengalaman menawarkan pembelajaran percuma selain meniupkan semangatnya supaya berusaha bersungguh bermula di Tingkatan Empat dalam tempoh pandemik Covid-19,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya