Cadangan halang ahli Parlimen ada kes di mahkamah perlu diperhalusi - Utusan Malaysia

Cadangan halang ahli Parlimen ada kes di mahkamah perlu diperhalusi

MUHAMAD Sharip Othman menyampaikan anugerah Imam Khalifah Negeri Melaka kepada Mohd. Redzuan sempena Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Imam Khalifah Dan Kehormat Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau di Balai Undang Luak Rembau, di Rembau petang tadi.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Cadangan untuk melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, ia sewajarnya hanya mengkhususkan kepada mana-mana ahli Parlimen yang sudah pun dijatuhkan hukuman bersalah di mahkamah.

Jelas beliau, sekiranya ia dikenakan ke atas ahli Parlimen yang kesnya masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah, ia merupakan sesuatu yang tidak adil.

“Perlu diperhalusi, kalau hari ini orang yang sudah jatuh hukum pun berada di Dewan, bukan bermakna orang dalam proses perbicaraan. Kita kena ikut prinsip asas undang-undang, tidak bersalah sehingga diputuskan benar-benar bersalah’,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Sandang Kebesaran Imam Khalifah Dan Kehormat Silat Seni Gayong Malaysia Dan Serantau di Balai Undang Luak Rembau, di sini, tadi.

Pada majlis berkenaan, Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman selaku Penaung Utama Silat Seni Gayong Malaysia berkenan menyampaikan penganugerahan Imam Khalifah Negeri Melaka kepada Mohd. Redzuan.

Semalam, media melaporkan, Kabinet bersetuju dengan cadangan melaksana reformasi Parlimen termasuk meminda Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) sama ada melarang atau membenarkan Ahli Parlimen yang dituduh di mahkamah, digantung daripada menghadiri persidangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata, perkara itu masih diperhalusi untuk disesuaikan dengan perkembangan dan peraturan sedia ada Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti juga perlu masih diperhalusi terutama berkaitan intipati utama lompat parti bagi kebaikan semua pihak sebelum ia dibawa ke Dewan Rakyat.

“Antaranya persetujuan perbincangan iaitu lompat parti ke parti, parti ke bebas, kalau bebas ke parti itu tidak termasuk dalam intipati lompat parti,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN