MELAKA: Penduduk di Kampung Gangsa, Durian Tunggal di sini terus diselubungi kebimbangan selepas terlihat kemunculan seekor buaya tembaga di pintu air di kawasan itu, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Mohd. Firrdhaus Mahmood berkata, kejadian itu adalah perkara biasa dan tidak perlu ditakuti.
Jelasnya, buaya tembaga berkenaan dipercayai telah berenang dari Sungai Melaka dan berehat di kawasan itu yang juga merupakan habitatnya.
“Kejadian buaya tembaga berada di pintu air adalah perkara biasa dan tidak perlu ditakuti, malah kawasan anak-anak sungai juga merupakan habitatnya sejak sekian lama.
“Bagaimanapun, orang ramai dinasihati supaya tidak melakukan sebarang provokasi terhadap reptilia itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, kemunculan buaya tembaga itu tular menerusi dua video berdurasi 13 dan 16 saat yang dirakamkan oleh penduduk setempat.
Video tersebut memaparkan seekor buaya tembaga dilihat naik ke kawasan semak di pintu air.
Tambah Mohd. Firrdhaus, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan kacau ganggu haiwan itu terhadap penduduk setempat.
“Sehingga petang ini pegawai kami tidak mengesan keberadaan buaya tembaga di kawasan itu. Bagaimanapun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan haiwan tersebut tidak mendekati kawasan penduduk setempat,” katanya. – UTUSAN