PUTRAJAYA: Hantaran poster notis awam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor di Facebook berhubung bidaan siri nombor pendaftaran kenderaan ‘BRA’ menarik perhatian warganet, hari ini.
Apa tidaknya, huruf permulaan ‘BRA’ itu sendiri sudah menggambarkan keunikannya tersendiri kerana ia membawa perihal sejenis pakaian dalam milik wanita.
Tidak hanya nombor itu sendiri yang istimewa, reaksi warganet di ruangan komen hantaran berkenaan juga mencuit hati.
Ada yang berkira-kira untuk mendapatkan siri nombor berkenaan malah, ada yang turut membayangkan nombor ‘fancy’ bila dipadankan antara huruf dan nombor.
Rata-rata komen mahu wanita mendapatkan nombor pendaftaran itu kerana ia dilihat sesuai untuk golongan itu, malah, ada juga yang menjangkakan jualannya tidak akan mendapat sambutan ramai.
Warganet dikenali Khairil Fadhil Hanafi meletakkan komen; “BRA 1305, bos perempuan mesti beli ni.
Seorang lagi pemilik akaun dikenali Safiudin Shahdan pula meletakkan komen, BRA 117 yang membawa maksud ‘BRAIN’ iaitu otak dalam bahasa Melayu.
Antara rekaan nombor fancy lain yang dikongsi warganet di ruangan komen termasuk BRA 171 (BRANI), BRA 54 (BRASA), BRA 8055 (BRABOSS), BRA 8115 (BRABUS) dan BRA766 (BRAT66).
Setakat pukul 8 malam tadi, hantaran berkenaan mendapat 399 komen dan dikongsi sebanyak 179 kali.
Siri nombor pendaftaran itu akan dibuka untuk bidaan kepada orang awam bermula 29 Jun ini dan tarikh keputusan bidaan pula dikeluarkan pada 4 Julai depan.
Orang awam yang berminat boleh memulakan bidaan nombor kegemaran masing-masing menerusi portal https://jpjebid.jpj.gov.my. –UTUSAN ONLINE