SEREMBAN: Sempena Hari Basikal Sedunia (World Bicycle Day) yang disambut semalam, Kelab Basikal Tuo Soghomban (KBTS) mengadakan program Kayuhan Basikal Klasik Rentas Tiga Negeri hari ini.
Pengerusi KBTS, Mohd. Ariff Bidin, 41, berkata, seramai 12 orang ahli kelab itu menyertai program kayuhan melibatkan tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurut beliau, kayuhan bermula hari ini dari Seremban melalui Rembau dan menuju Merlimau, Melaka dan seterusnya kayuhan disambung esok menuju ke Muar, Johor.
“Ini antara kayuhan paling jauh yang kami lakukan, sebelum ini kami pernah berkayuh dari Seremban ke Klang, Selangor. Selain sempena Hari Basikal Sedunia, program ini juga bagi memecahkan rekod kayuhan kami sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambah Mohd. Ariff, program kayuhan tiga negeri ini telah dirancang lama namun beberapa kali tertangguh termasuk ekoran pandemik Covid-19.
“Sebenarnya kami telah merancang program ini sebelum berlakunya pandemik Covid-19 lagi namun ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri, ia terpaksa kami tangguhkan.
“Ramai yang mahu menyertai program kayuhan ini termasuk ahli-ahli kelab basikal klasik dari luar Negeri Sembilan namun kami terpaksa mengehadkan penyertaan dengan hanya melibatkan ahli KBTS supaya urusan program lebih lancar,” katanya.
Jelasnya lagi, program pelepasan kayuhan dari Merlimau ke Muar esok dijangka dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh. –UTUSAN ONLINE