Bekas pengawal keselamatan dakwa cuba bunuh diri, dibuli majikan - Utusan Malaysia

Bekas pengawal keselamatan dakwa cuba bunuh diri, dibuli majikan

S Tinagaran (tiga kanan) menyerahkan memorandum kepada Then Ming Fatt (tiga kiri) meminta KKM menjalankan siasatan syarikat kawalan keselamatan yang didakwa membuli pekerja di KKM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) hari ini menyerahkan satu memorandum mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan dan membatalkan kontrak sebuah syarikat kawalan keselamatan yang didakwa membuli pekerja sehingga mengakibatkan tekanan perasaan dan cubaan membunuh diri.

Koordinator JPKK Negeri Sembilan, S. Tinagaran berkata, pihaknya tampil untuk menyerahkan memorandum tersebut mewakili pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban termasuk pekerja-pekerja lain yang turut sama berdepan isu pemotongan gaji tidak wajar, permohonan cuti tidak diluluskan dan tunggakan potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jelas Tinagaran, S. Letchumy, 43, dia yang sudah berkhidmat lebih lapan tahun di hospital berkenaan menerima notis pemberhentian kerja pada 31 Mei lalu dari syarikat tersebut sementara suaminya, S. Logeswaran, 43, masih bekerja seperti biasa.

Menurutnya, pada Disember 2020, syarikat berkenaan memperoleh tender melalui KKM dan mula mengambil alih perkhidmatan kawalan keselamatan di hospital dengan kesemua pengawal keselamatan dari syarikat lama disambung kontrak.

“Pada Februari 2021, pekerja mendapati gaji bulanan mereka berkurangan berbanding pembayaran dibuat syarikat terdahulu, pemotongan bayaran kerja lebih masa, permohonan cuti tidak diluluskan, bayaran denda RM50 dikenakan jika mengambil cuti selain terdapat tunggakan caruman KWSP pada bulan Januari sehingga Mac tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan KKM di sini hari ini.

Terdahulu, Tinagaran menyerahkan memorandum tersebut kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KKM, Thean Ming Fatt untuk disampaikan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Selepas sesi penyerahan selesai, Letchumy secara tiba-tiba dilihat rebah dan hampir pitam dipercayai kerana mengalami keletihan sebelum dibantu ahli JPKK dan kakitangan KKM yang berada di situ. 

Kata Tinagaran, pasangan suami isteri terbabit mengemukakan aduan mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Seremban selain bertemu dengan pengarah HTJ berhubung isu tekanan yang dihadapi dari pihak majikan.

“Kita minta KKM supaya pandang serius isu ini dengan ambil tindakan segera termasuk tamatkan kontrak syarikat kerana gagal melindungi kebajikan pekerja selain berikan semula kerja kepada Letchumy.

“Kita juga minta KKM untuk mewujudkan kumpulan pemantauan kebajikan setiap pekerja yang bekerja di bawah syarikat yang diberi tender oleh kementerian dan perlu ada garis panduan standard supaya perkara begini tidak berulang ke atas pekerja lain,” ujarnya.

Sementara itu, Letchumy berkata, dia tidak mampu untuk kehilangan sumber pendapatan kerana perlu menanggung tujuh anak berusia sembilan hingga 19 tahun yang masih bersekolah.

Letchumy mendakwa, sebelum menerima notis pemberhentian kerja pada 31 Mei lalu, bekas majikannya sering menukar lokasi pos kawalan keselamatan kerana ingin menghukumnya ekoran aduan yang dibuat kepada JTK dan pihak hospital.

“Kenapa buli kami sehingga begini? Saya cuma ingin dapatkan hak saya, tetapi akhirnya diberhentikan kerja selain dianggap mempengaruhi pengawal lain untuk turun mogok haram sebelum ini.

“Saya juga pernah cuba membunuh diri pada Mei lalu dengan minum ubat batuk dan makan ubat tahan sakit sehingga dikejarkan ke zon merah, bagi saya, ini tidak adil kerana kami hanya cari makan sahaja untuk teruskan kehidupan dan tanggung anak-anak,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya