KOTA BHARU: Peralihan negara ke fasa endemik sejak 1 April lalu dilihat tidak banyak membantu urus niaga di Bazar Tok Guru di sini apabila ia masih ‘sendu’ tanpa kehadiran pengunjung.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati rata-rata peniaga lebih banyak ‘berehat’ daripada melayan pelanggan yang datang untuk membeli belah.
Seorang peniaga pakaian dikenali Nor, 50, berkata, satu masa dahulu Bazar Tok Guru cukup gah dalam kalangan masyarakat dan pelancong domestik untuk membeli-belah di sini namun sejak Covid-19 lokasi itu berubah menjadi suram.
“Nak dapat pelanggan pun payah, dulu lokasi ini merupakan antara pilihan utama penduduk tempatan termasuk pelancong.
“Anda boleh lihat sendiri situasinya macam mana sekarang ini. Namun disebabkan tiada pilihan saya terpaksa berniaga bersama suami untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Tambahnya, sejak Covid-19 dia dan suami hanya mampu menjana pendapatan sekitar RM400 hingga RM500 sehari berbanding sebelum ini ribuan ringgit sebelum Covid-19.
Seorang peniaga kain pasang yang dikenali Su, 46, turut mengakui masalah yang sama apabila perit untuk menjana pendapatan RM50 sehari.
Katanya, walaupun rezeki masing-masing namun pihak berkenaan sepatutnya mengambil langkah tertentu termasuklah mempromosikan bazar ini supaya terus dikunjungi orang ramai terutama pada musim cuti persekolahan atau umum.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemborong dan Pembekal Bazar Tok Guru, Zainal Othman berkata, berhubung perkara itu pihaknya sedang merancang pelbagai program sepanjang tahun ni untuk mempromosikan Bazar Tok Guru kepada orang ramai.
Katanya, setakat ini kira-kira 300 peniaga yang menjalankan pelbagai perniagaan. –UTUSAN ONLINE