PETALING JAYA: Pertandingan Idea Bandar Masa Depan merupakan antara tarikan di Pameran Seni Bina, Rekaan Dalaman dan Antarabangsa Ke-21 (Archidex 2022) pada 29 Jun hingga 2 Julai ini.
Acara pameran terbesar yang akan berlangsung secara hibrid itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari.
Seramai 37,000 pengunjung dijangka hadir ke Archidex 2022 yang turut menampilkan 400 pempamer di samping aktiviti lain termasuk Persidangan Datum: KL, forum, ceramah, pelancaran produk dan rangkaian perniagaan.
Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Prof. Madya (Ind.) Ar. Sarly Adre Sarkum berkata, penganjuran Pertandingan Idea Bandar Masa Depan itu mampu memastikan golongan arkitek terus kekal relevan.
“Bandar itu merupakan konsep baharu yang berfokuskan masa depan dalam beberapa isu termasuk kemapanan, infrastruktur dan pembangunan di samping ekonomi pintar.
“Di samping itu, Datum pula merupakan persidangan seni bina terbesar Asia dan mampu menarik lebih 2,000 arkitek, pemaju, pereka di samping profesional dalam industri pembinaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sarly Adre berkata, kali ini, Arxchidex dan Datum sekali lagi akan menjadi penggerak kepada himpunan terbesar pengunjung dan delegasi.
Sementara itu, Presiden CIS dan Pertubuhan Persidangan dan Pameran Persekutuan Asia (AFECA), Datuk Vincent Lim berkata, Archidex menjadi platform untuk menjana peluang perniagaan kepada pihak industri hingga kini.
Katanya, pameran berkenaan merupakan sebagai acara penting bagi industri seni bina dan berperanan sebagai medan utama untuk mengukuhkan perniagaan dalam era pasca pandemik ke arah pemulihan ekonomi.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai Archidex boleh mendaftar di https://ARCHIDEX.com.my/. –UTUSAN ONLINE