PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan Tun Arshad Ayub kepada negara.
Baginda selaku Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertitah, sumbangan Arshad amat bernilai apabila berjaya mengangkat universiti itu sebagai salah sebuah universiti terkemuka di negara ini.
“Allahyarham adalah seorang tokoh dan negarawan yang bertanggungjawab sebagai arkitek penubuhan UiTM yang kini terkenal di seluruh negara sebagai gedung modal insan pribumi yang teragung di Malaysia.
“Kehilangan beliau sangat dirasai oleh negara dan khususnya UiTM. Semoga segala jasa dan pengorbanan beliau dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda dari Allah. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan para solihin,” titah baginda.
Arshad meninggal dunia pada usia 93 tahun di hospital di ibu negara selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak minggu lalu kerana masalah kesihatan, sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 2.06 pagi tadi.
Beliau merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975, yang kini dikenali sebagai UiTM.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri Toh Puan Zaleha Mohd Arshad dan tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan. –UTUSAN ONLINE