KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menerima sebanyak 19 laporan kejadian lemas yang melibatkan 52 mangsa di laut sepanjang tempoh lima tahun sejak 2017 di perairan di negeri ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman berkata, daripada jumlah itu, seramai 27 mangsa disahkan meninggal dunia manakala 20 dilaporkan selamat.
“Dalam tempoh itu juga, empat kes dipercayai mangsa hilang di laut dan masih belum ditemukan sehingga kini.
“Kes yang diterima itu melibatkan kejadian di Perairan Kuala Besar, perairan Sabak dan perairan Kemasin, Bachok,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dilakukan segera sebaik pasukannya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut dengan kekuatan anggota seramai 80 orang bergantung kepada lokasi pencarian pada satu-satu masa.
Katanya, kawasan pencarian bergantung kepada lokasi kejadian awal berlaku sehingga kawasan sekitar perairan di negeri ini yang berkeluasan 27,637 kilometer persegi dengan bantuan aset udara dan aset laut milik Maritim Malaysia dan agensi lain termasuk nelayan.
“Pencarian akan dilakukan selama seminggu bergantung kepada petunjuk baharu dan selepas itu SAR dihentikan selepas tidak mendapat petunjuk.
“Namun, sekiranya mendapat petunjuk baru SAR akan dilakukan di lokasi dikenal pasti termasuk sehingga ke sempadan perairan negara seperti Malaysia-Vietnam yang jaraknya lebih kurang 120 batu nautika,” katanya. –UTUSAN ONLINE