PUTRAJAYA: Lembaga Peperiksaan (LP) menjelaskan seramai 10,681 calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
LP dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 9,037 orang atau 2.30 peratus yang tidak hadir adalah terdiri daripada calon sekolah Kementerian Pendidikan, calon sekolah agensi kerajaan, calon sekolah menengah agama negeri, calon sekolah swasta dan calon sekolah menengah agama rakyat.
Manakala seramai 1,644 orang atau 0.42 peratus merupakan calon persendirian.
“LP merujuk kepada laporan media berkaitan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021. LP ingin memaklumkan bahawa jumlah calon berdaftar bagi peperiksaan SPM 2021 adalah seramai 407,097 orang seperti pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021.
“Bagi tujuan analisis keputusan peperiksaan SPM 2021, hanya 392,837 orang calon berdaftar yang diambil kira. Calon ini adalah mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 382,156 orang atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian telah hadir menduduki peperiksaan,” katanya.
LP turut berharap penjelasan tersebut dapat memberi gambaran sebenar berkenaan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021.