KUANTAN: Yayasan Sime Darby (YSD) menjadi agensi ‘penyelamat’ buat Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited Malaysia) yang ibarat nyawa-nyawa ikan setelah kerajaan menghentikan penyaluran dana buat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut sejak negara dilanda wabak pandemik Covid-19.
Bermula Jun tahun lalu, YSD menaja Komited Malaysia sebanyak RM2.5 juta untuk tempoh tiga tahun bagi membolehkan pertubuhan itu terus ‘bernyawa’ bagi menangani isu berkaitan penyalahgunaan dadah dan HIV/AIDS.
Presiden dan Pengasas Komited Malaysia, Khalid Hashim berkata, ekoran penularan Covid-19, kerajaan menarik balik peruntukan untuk NGO yang melaksanakan kerja berkaitan dadah.
“Selepas itu, kita ibarat nyawa-nyawa ikan yang menunggu masa untuk berkubur ataupun ditutup. Namun, syukur ke hadrat Allah SWT apabila YSD tampil membantu dengan menaja sebanyak RM2.5 juta.
“Tiada apa yang mampu saya ungkapkan selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YSD kerana jumlah RM2.5 juta merupakan peruntukan terbesar yang pernah kita terima.
“Daripada kerajaan pun kita tidak terima dana sebanyak ini walaupun usaha membanteras dadah yang merupakan musuh nombor satu negara seharusnya menjadi tanggungjawab utama kerajaan,” katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Jalinan Kerjasama YSD dan Komited Malaysia dan Sambutan Aidilfitri di Casa Villa di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Dr. Yatela Zainal Abidin, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Bhd, Mohamad Helmy Othman Basha dan Setiausaha Kehormat Yayasan AIDS Malaysia, Bakhtiar Talhah.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, jika diikutkan tajaan RM2.5 juta itu tidak mencukupi kerana kos setahun yang diperlukan NGO terbabit berjumlah RM3 juta dan daripada jumlah tersebut RM853,000 untuk kos makanan.
“Selain YSD, kita juga menerima tajaan setiap tahun daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) untuk bantuan makanan dan persekolahan kanak-kanak jagaan kami yang ibu bapa mereka terlibat dengan dadah,” katanya.
Sementara itu, Yatela berkata, tajaan RM2.5 juta untuk menyokong kos penggajian dan sewaan premis untuk lima rumah perlindungan dan dua pusat persinggahan dikelola Komited Malaysia.
Beliau berkata, YSD memandang tinggi usaha Komited Malaysia untuk mengubah kehidupan pengguna dadah suntikan (PWID) di negara ini.
“Pendekatan yang menekankan kepada aspek pembangunan komuniti, pembinaan kemahiran kendiri dan sokongan sara hidup yang lebih lestari adalah selari dengan aspirasi YSD untuk meningkatkan akses kepada rawatan untuk anggota komuniti terpinggir.
“Selain daripada penajaan ini, kami membantu Komited Malaysia untuk meningkatkan standard operasi dan urus tadbir – satu langkah kritikal yang akan meletakkan mereka di landasan pembangunan masa depan yang lebih mapan,” katanya. –UTUSAN ONLINE