Warga emas pandu van sekolah lawan arus didakwa

Warga emas pandu van sekolah lawan arus didakwa

M. RAMAN (kiri) didakwa di mahkamah atas tuduhan memandu melawan arus dan melulu di Mahkamah Majistret Seri Manjung, Perak, hari ini. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang warga emas didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas tuduhan memandu van sekolah secara berbahaya dan melawan arus di Jalan Lumut-Sitiawan, pada 11 Mei lalu.

M. Raman, 74, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Tertuduh didakwa memandu van sekolah Isuzu secara melulu dan melawan arus di hadapan premis menjual kenderaan terpakai Gamma di Jalan Lumut-Sitiawan dan telah dirakam oleh pemilik akaun tiktok blackhyppo_7.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 7.15 malam pada 11 Mei lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.

Dia juga akan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika didapati bersalah.

Majistret A. Hafiizh Abu Bakar membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan menetapkan 20 Jun ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Norafida Leman manakala tertuduh diwakili oleh peguam S Dharmanathan.

Terdahulu, dalam rayuannya, tertuduh memberitahu dia mempunyai penyakit diabetes dan asma tetapi tidak mempunyai masalah memandu kerana mempunyai pengalaman luas dalam pemanduan kenderaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya