SHAH ALAM: Warga emas yang menjadi mangsa pukul dalam satu kejadian melibatkannya dengan seorang penunggang motosikal di Padang Jawa di sini Ahad lalu sedia memaafkan lelaki tersebut.
Menurut Zainol Din Hussein, 60, walaupun teruk diperlakukan seperti video tular dalam media sosial, dia bersedia memaafkan lelaki terbabit dan enggan isu berkenaan berlarutan walaupun laporan polis sudah dibuat.
“Bagaimanapun, laporan polis telah dibuat dan saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan terhadap kes ini,” katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Padang Jawa, di sini, hari ini.
Jelasnya, ketika kejadian, dia bersama isterinya, Maziana Johari, 56, serta cucu yang berusia tiga tahun dalam perjalanan untuk beraya dekat rumah saudaranya di Ampang dan Putrajaya.
Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui jalan di lokasi kejadian, tiba-tiba dia melihat seorang penunggang menjerit ke arahnya, namun tidak mendengar dengan jelas teriakan lelaki itu kerana berada di dalam kereta.
“Ketika berhenti bagi melihat kereta, penunggang tersebut patah balik. Tidak sempat berkata apa-apapun, dia terus menendang saya,” ujarnya.
Jelas Zainol lagi, semasa dipukul, dia tidak berdaya untuk melawan semula dan hanya melindungi lubang rawatan dialisis di lengan kirinya.
Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik apabila terdapat beberapa penduduk kampung yang berdekatan kawasan kejadian terus membantunya, dengan meleraikan pergaduhan.
“Beberapa penduduk terus memberikan rawatan kepada saya dan saya ambil sedikit masa untuk menenangkan diri. Selepas itu, baru saya buat laporan polis di Balai Polis Shah Alam sebelum ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zainol turut memaklumkan ketika kejadian dia menerima rawatan dialisis sehari sebelum kejadian dan bukannya pada hari Ahad seperti diperkatakan sebelum itu. – UTUSAN