KUALA PILAH: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Transformasi Universiti (UCTC) dan Institut Islam Hadhari (Hadhari) menerima dana endowmen sebanyak RM1 juta daripada Yayasan Undang Luak Johol.
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, berkata, dana tersebut akan digunakan bagi tujuan memperkasakan pendidikan anak-anak Johol dan membangunkan tanah adat yang terbiar di Johol.
Jelas beliau, ia melalui inisiatif penganugerahan biasiswa kepada anak jajahan takluk Undang Luak Johol yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan tujuan penyelidikan bagi tanah adat terbiar.
ANAK JOHOL
“UKM amat berbesar hati dengan sumbangan dana endowmen sebanyak RM1 juta ini. Ia akan memperkasakan pendidikan anak-anak di Johol melalui penganugerahan biasiswa kepada merekan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, penyelidikan dalam bidang masyarakat bagi golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam jajahan takluk Undang Luak Johol.
“Selain itu, endowmen ini juga digunakan bagi menggerakkan pembangunan tanah adat yang banyak terbiar dalam jajahan takluk Undang Luak Johol untuk pembangunan ekonomi dan memberi peluang pelaburan asing termasuk mempertingkatkan sektor pertanian dan kepakaran teknologi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan Undang Luak Johol hari ini.
Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah turut hadir menyaksikan majlis tersebut yang diadakan di Balai Rasmi Undang Luak Johol di sini.
UKM diwakili sendiri oleh Mohd. Ekhwan manakala Yayasan Undang Luak Johol diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Md Ghazali Md. Yasin.
Sementara itu, Mohd. Ekhwan menjelaskan, menerusi penjanjian tersebut, ia dapat mengukuhkan kerjasama di antara kedua-dua pihak terutama dalam bentuk akademik, komuniti dan industri.
“Projek pembangunan tanah adat Undang Luak Johol yang berada dibawah naungan UCTC ini merupakan kesinambungan hubungan yang terjalin di antara kedua-dua belah pihak sejak tahun 2017.
“Tanah adat terbiar ini akan dibangunkan dan akan memberi pulangan kepada masyarakat di sini tanpa dimusnahkan sebarang ekosistemnya. Kami juga akan bekerjasama dengan pemilik tanah termasuk bagi membangunkan tanaman yang menggunakan teknologi moden,” tambah beliau. – UTUSAN