UiTM bawa siswa pulang beraya di lapan negeri - Utusan Malaysia

UiTM bawa siswa pulang beraya di lapan negeri

ROZIAH Mohd. Janor (berdiri, lima kanan) bersama pengurusan UiTM bergambar mahasiswa yang pulang ke kampung menaiki bas disediakan di UiTM Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Terlepas beli tiket bas tidak menjadi masalah bagi 132 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memanfaatkan kemudahan bas ekspres untuk pulang berhari raya di kampung halaman.

Misi Salam Raya 2022 itu anjuran bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Unit Kenderaan UiTM Shah Alam dan Cawangan Selangor serta Syarikat Bas Bintong Travel & Tours Sdn Bhd. dan kesemua pihak berkenaan menyediakan pengangkutan ke lapan buah negeri.

Institusi itu dalam satu kenyataan berkata, misi bermula pada 27 April sehingga 30 April lalu dengan objektif utama iaitu membawa pulang mahasiswa pulang balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Misi ini bermula dengan sesi penghantaran Mahasiswa Sabah dan Sarawak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, seterusnya mahasiswa semenanjung melalui kemudahan bas yang disediakan.

“Penghantaran mahasiswa ke lapangan terbang sebelum ini berlangsung selama 3 hari sehingga 29 April lepas,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, semalam, sesi penghantaran pelajar menggunakan enam buah bas ke setiap negeri telah berlangsung. 

“Bas berlepas daripada UiTM Shah Alam dan seterusnya ke UiTM Puncak Perdana serta UiTM Puncak Alam, dan akhirnya ke seluruh destinasi yang ditetapkan. 

“Sesi pelepasan diadakan pada jam 9.45 pagi oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor, bersama-sama dengan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Profesor Dr. Mohd Sazili Sahibi dan Pegawai Khas Perdana Menteri,” jelasnya.

Roziah berkata, melalui misi tersebut bukan sahaja dapat membantu meringankan kos mahasiswa untuk pulang beraya di kampung halaman, malah dapat membantu pelajar yang tidak sempat membeli tiket dapat pulang menggunakan kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh pihak UiTM. 

Beliau menambah, bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan menyantuni mereka agar suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya