BENTONG: Seorang pemandu selamat dalam kejadian sebuah kereta terbakar di Kilometer 2.9 menghala naik ke Genting Highlands di sini, semalam.
Semalam tular menerusi aplikasi Tiktok @ren.pmx memaparkan sebuah kereta terbakar didakwa oleh pengirim tersebut tiba-tiba kereta tersebut terundur ke belakang menuruni bukit.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar menjelaskan, dalam kejadian pukul 1.45 petang semalam, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun memandu kereta dari arah Kuala Lumpur menghala naik ke Genting Highlands.
“Setiba di tempat kejadian, kereta jenis Hyundai Elantra berkenaan mengalami kebakaran di bahagian enjin dan kemudiannya api terus merebak ke bahagian lain kenderaan ini.
“Pemandu tersebut telah memberhentikan keretanya di atas jalan raya dan keluar untuk menyelamatkan diri. Tiba-tiba kereta tersebut terundur dengan sendiri lalu terlanggar dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang berada di belakang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan selamat dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Kaedah 14, Kaedah-kaedah lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59). Saksi yang melihat kejadian ini diminta tampil dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk membantu siasatan,” katanya.
Ujarnya, pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu di jalan raya di samping memastikan kenderaan masing-masing sentiasa diselenggara dengan baik. -UTUSAN ONLI