TUDM tunai impian pesakit leukemia - Utusan Malaysia

TUDM tunai impian pesakit leukemia

MUHAMMAD IRFAN Mikail (berkerusi roda) yang menghidap penyakit leukemia ketika dibawa melawat sekitar kawasan Pangkalan Tentera Udara Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Impian Muhammad Irfan Mikail Mohd.Shukri, 15, sejak kecil ialah untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bagaimanapun, remaja itu didiagnosis menghidap penyakit leukemia yang dikategorikan sebagai ‘acute lymphoblastic Leukemia’ atau ALL hingga membataskan pergerakannya.

Justeru, bagi memulihkan semula semangatnya sekali gus menunaikan impiannya yang tertangguh, ibu bapa Muhammad Irfan Mikail melalui Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) menyampaikan keinginan remaja tersebut kepada pihak TUDM.

Atas dasar keprihatinan dan rasa empati, TUDM melalui No. 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth di sini dengan bantuan Kolej Tentera Udara bersama Foccan kemudiannya melaksanakan tanggungjawab sosial mereka demi menunaikan impian ‘pejuang muda’ yang kini sedang bertarung untuk melawan kanser itu.

Dijemput dan dibawa khas dari kediamannya di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar, Perlis hingga ke Pangkalan Udara Butterworth di sini, Muhammad Irfan Mikail turut diiringi oleh ibu bapanya iaitu Mazatul Rohana Saleh dan Mohd. Shukri Talib.

Mereka disambut oleh Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal Engku Mustafa TUDM dan Pegawai Memerintah No. 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd. Hafiz Abu Bakar.

Turut hadir dalam program itu ialah empat pegawai Foccan bersama seorang lagi ‘pejuang kanser’ yang diketuai Siti Salmah Salleh.

Muhammad Irfan Mikail kemudian dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan sut penerbangan khas seperti yang dipakai oleh juruterbang TUDM.

Selain berpeluang bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No. 15 Skuadron dan F/A-18D dari No. 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat, remaja terbabit dan keluarganya juga berpeluang melihat pengoperasian pesawat pejuang Hawk dari mula hingga ke akhir.

Remaja itu kemudian turut dibawa melawat Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D sebelum lawatan mereka diakhiri dengan penyampaian sumbangan serta cenderahati kenangan kepada keluarga berkenaan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya