MELAKA: Malaysia perlu memperkenalkan program kewartawanan dalam fakulti sains sosial atau fakulti ilmu kemanusiaan lain agar wartawan yang dihasilkan mampu menganalisis dan mentafsir tingkah laku masyarakat.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, ini kerana wartawan memerlukan bidang ilmu lain selain bidang kewartawanan untuk menjadi lebih kritis.
Jelas beliau, bergerak ke hadapan, isu-isu menjadi semakin kompleks dan perlu memahami isu tempatan, politik, nasional, budaya dan global.
“Ini memerlukan penguasaan bidang disiplin tertentu dalam ekonomi, sejarah, sains dan bukan hanya dengan penguasaan kemahiran kewartawanan.
“Mereka perlu menguasai bidang-bidang ini bagi memantapkan daya analisis. Contohnya jika membuat liputan ekonomi, lebih baik dilakukan oleh graduan dalam bidang ekonomi yang mempunyai latihan dalam kewartawanan.
“Ini bukan cerita baharu tapi sudah berlaku di Eropah sejak sekian lama. Di Malaysia, kita perlu berfikir bagaimana mengekalkan sekolah kewartawanan secara asing atau masukkan program berkenaan dalam fakulti-fakulti disiplin lain,” katanya pada Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini.
Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, kedudukan sekolah-sekolah kewartawanan yang telah wujud selama 51 tahun di negara ini perlu disemak semula bagi memastikan institusi berkenaan kekal relevan pada masa depan.
Katanya, sehingga kini, tiada rombakan kurikulum dan perbincangan dibuat mengenai kedudukan sekolah kewartawanan.
“Pihak berwajib mesti serius untuk melihat ini pada konteks fundamental. Bukan hanya menyemak kurikulum, tapi turut merombak kurikulum dan melihat institusi kewartawanan pada masa depan dan jangka panjang,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE