Tarikan pelancongan di Pontian perlu ditambah

Tarikan pelancongan di Pontian perlu ditambah

HASRUNIZAH Hassan menandatangani plak perasmian Program Gerak Mesra anjuran bersama beberapa agensi kerajaan di Dataran Pontian, di sini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Selain tarikan di Tanjung Piai, bandar Pontian di sini turut diharap menjadi tempat persinggahan kepada pelancong dari Singapura dan Johor Bahru apabila jambatan menyeberangi Sungai Pulai siap pada tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang,  Hasrunizah Hassan berkata, sektor pelancongan di daerah berkenaan perlu diberikan tumpuan seperti yang disarankan oleh kerajaan negeri.

Katanya, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) perlu mengambil langkah bagi menambah atau menambah  baik tempat-tempat menarik di sekitar bandar Pontian untuk mengisi aktiviti lawatan pelancong kelak.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diberikan tumpuan adalah menaik taraf medan selera, membina lebih banyak pusat-pusat penjualan cenderamata, lokasi penjualan buah-buahan tempatan dan sebagainya.

“Sebagai sebuah daerah yang dikenali sebagai penghujung benua Asia, bandar Pontian perlu mempunyai ciri-ciri yang dapat menggamit pelancong bukan sahaja dari Singapura tetapi dari seluruh dunia.

“Perlu ada lokasi lawatan di tengah-tengah bandar Pontian sebagai tanda mereka telah sampai di sini selain di Taman Negara Johor Tanjung Piai,” katanya ketika ditemui selepas program Gerak Mesra bersama Komuniti anjuran Jabatan Senibina dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kolej Yayasan Pelajaran Johor, di sini.

Program melibatkan kerja-kerja pembersihan di pesisiran pantai Pontian disertai oleh pelajar-pelajar sekolah, Persekutuan Pengakap Malaysia dan Skuad Amal Bestari pantai.

Tambah Hasrunizah, bangunan-bangunan lama di bandar Pontian Kechil pula boleh dijadikan tarikan  dengan membuat lukisan mural seperti yang terdapat di bandar-bandar lain di Johor.

“Terdapat bangunan yang melebihi usia 50 tahun perlu dijaga dan dipelihara sebagai bangunan yang mempunyai nilai-nilai sejarah kepada daerah Pontian terutama di Jalan Bakek dan Jalan Alsagoff,” ujarnya.

Mengenai masalah sampah yang terdapat di pesisiran pantai Pontian, beliau memberitahu selain sikap pengunjung yang kurang menjaga kebersihan,  terdapat juga sampah sarap yang dibawa oleh ombak ketika air pasang.

Oleh itu, Hasrunizah mencadangkan supaya dipasang jaring khas yang dapat memerangkap sampah di kawasan Dataran Pontian sehingga ke Laman Diraja Pontian bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.

“Dalam masa yang sama pengunjung perlu diberikan kesedaran bagi sama-sama menjaga kebersihan di kawasan tumpuan ramai serta tindakan undang-undang yang sesuai kepada yang masih berdegil,” katanya.

HASRUNIZAH Hassan menandatangani plak perasmian Program Gerak Mesra anjuran bersama beberapa agensi kerajaan di Dataran Pontian, di sini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya