SEREMBAN: Seluas 162 hektar tanah di kawasan tapak bekas Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Tampin akan dibangunkan dengan projek penanaman jagung bijirin bagi penghasilan makanan ternakan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek di atas tanah milik Menteri Besar Diperbadankan (MBI) itu adalah kerjasama dengan pihak kerajaan negeri Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
“Ia menerusi Program Inisiatif Sekuriti Makanan di antara MBI dan PKPS yang diharap sebagai usaha mengurangkan import negara dalam makanan ternakan.
“Projek tanaman tersebut akan dijalankan seluas 400 ekar di tanak tapak bekas NFC di Gemas. Macam-macam sudah projek dilakukan di tanah itu, bela lembu pun tidak jadi, jadi kita cuba untuk tanam jagung,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua buah kerajaan negeri akan ditandatangani hari ini di Shah Alam, Selangor.
“Ia akan menjadi tanaman jagung bijirin terbesar di Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan melihat tanah-tanah lain yang sesuai untuk ditanam dengan tanaman selain jagung tersebut.
“Sebenarnya bagi saya, 400 ekar itu tidaklah besar tetapi saya rasakan kita kena mula, semua negeri kena mula tanaman makanan untuk kegunaan rakyat sendiri.
“Kita kena bersedia dari sekarang, jangan lambat kerana khuatir sumber makanan tidak mencukupi dan harga terus meningkat yang akhirnya membebankan rakyat,” katanya. – UTUSAN