IPOH: Seorang lelaki cedera di dahi selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas ketika melarikan diri dalam Op Samseng Jalanan di Station 18 di sini, awal pagi tadi.
Video kejadian itu tular dalam aplikasi TikTok di mana turut memaparkan sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal menolak kenderaan masing-masing dari lokasi operasi ke pejabat Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Chamberlin Hulu di sini.
Difahamkan, lelaki terbabit masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, setakat ini, lelaki terbabit masih belum membuat laporan polis berkaitan kejadian sekitar pukul 1 pagi.
“Kita mengesan satu video tular seorang penunggang motosikal terjatuh setelah terbabas di kawasan berhampiran operasi. Kita percaya lelaki itu melarikan diri daripada pemeriksaan.
“Lelaki terbabit telah diberi rawatan oleh pihak ambulans dan dibawa ke hospital. Siasatan akan dijalankan ke atas kes berkenaan dengan memanggil pihak terlibat untuk diambil keterangan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas mengenai operasi itu, Yahaya berkata, sebanyak 241 saman trafik atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selepas memeriksa 76 motosikal dan 92 individu.
Katanya, 14 motosikal turut disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran.
“Tujuh individu turut ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan bahaya dan satu tangkapan pula mengikut Seksyen 108 APJ 1987 membabitkan kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati dua individu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Tambah beliau, operasi itu disertai dua pegawai kanan dan 60 anggota daripada pelbagai cawangan IPD Ipoh serta dibantu anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). –UTUSAN ONLINE