Rumah kebajikan swasta perlu bantuan lunaskan sewa premis, bil tertunggak - Utusan Malaysia

Rumah kebajikan swasta perlu bantuan lunaskan sewa premis, bil tertunggak

P. JAYA (berdiri tengah) bersama sebahagian daripada penghuni sebuah rumah kebajikan swasta di Jalan York, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pengurusan sebuah rumah kebajikan swasta di Jalan York di sini memohon bantuan daripada orang ramai untuk membantu mendapatkan dana bagi melunaskan bayaran sewa premis serta bil elektrik yang tertunggak sejak lebih enam bulan lalu.

Pengurus rumah kebajikan itu, P. Jaya, 56, berkata, dia berdepan kesukaran mendapatkan dana bagi membayar sewa premis yang berjumlah RM1,800 sebulan dan bil-bil tertunggak sejak pandemik Covid-19 bermula hampir dua tahun lalu.

“Sebelum pandemik Covid-19 melanda, saya mendapat dana untuk membayar sewa premis serta bil menerusi hasil sumbangan orang ramai.

“Namun, ketika pandemik, sumbangan orang ramai menyusut dan saya amat sukar meneruskan operasi rumah kebajikan sehingga sewa rumah tidak dapat dibayar dan bil elektrik juga tertunggak sehingga lebih RM5,000,” katanya ketika ditemui di rumah kebajikan berkenaan hari ini.

Menurutnya, selain sukar mendapatkan dana terdapat masalah baharu yang mana  pemilik premis berkenaan juga memintanya mencari premis lain untuk disewa.

”Pemilik memberitahu saya pada bulan lalu ada orang lain yang mahu menyewa premis ini dan meminta saya mencari premis lain untuk disewa.

”Terdapat 50 warga emas berusia 60 hingga 80 tahun yang tinggal sepenuh masa di rumah kebajikan ini, ada di antara mereka yang menghidap sakit kronik dan memang sukar untuk saya dapatkan premis baharu untuk tempat tinggal mereka,” katanya.

Tambahnya, dia juga telah memohon lesen untuk mendapatkan geran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi pengoperasian rumah kebajikan itu namun sehingga kini tidak diluluskan.

“Saya memulakan operasi rumah kebajikan sejak 10 tahun lalu kerana simpati terhadap warga emas yang mempunyai penyakit kronik dan terpaksa tinggal seorang diri.

“Saya berpengalaman sebagai pakar pemakanan selama 15 tahun dan dengan pengalaman yang ada saya mahu bantu warga emas ini mengharungi masa tua mereka,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu rumah kebajikan itu boleh berhubung dengan Jaya di talian 016-7294298. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya