KEPALA BATAS: Seorang remaja maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung sesama sendiri di Jalan Lahar Kepar di sini kira-kira pukul 12.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa yang terbunuh berusia 13 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Sementara itu katanya, seorang lagi mangsa iaitu yang cedera parah berusia 14 tahun patah kaki kanan dan luka di bahagian badan.
“Kemalangan berlaku apabila si mati yang menunggang motosikal SYM ketika itu dalam perjalanan dari Penaga menuju ke Kepala Batas.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, dia cuba memotong sebuah kereta sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan serta bertembung dengan sebuah lagi motosikal Honda EX5 yang dinaiki seorang lagi mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan, kedua-dua remaja itu merupakan pelajar Tingkatan Satu dan Dua di sebuah sekolah menengah di sini manakala motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu milik bapa mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi memberitahu, mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujar beliau. – UTUSAN