JOHOR BAHRU: Johor berdepan dengan masalah kekurangan antara 15,000 hingga 18,000 jururawat di negeri ini setelah ramai yang berhijrah dan bekerja dalam sektor perkhidmatan kesihatan di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi membincangkan isu tersebut.
Beliau berkata, kekurangan tenaga kerja itu bukan hanya melibatkan para jururawat, malah, kekurangan doktor melibatkan beberapa hospital di negeri ini disebabkan menerima tawaran yang lebih baik.
Katanya, ketika ini, nisbah seorang jururawat adalah untuk 297 pesakit berbanding nisbah yang sepatutnya iaitu seorang jururawat untuk 200 pesakit.
“Kita tidak ada statistik khusus berapa ramai jururawat dan doktor kita yang bekerja di Singapura, tetapi bilangannya semakin bertambah setiap tahun disebabkan menerima tawaran lebih baik.
“Kita juga menjangkakan lebih ramai akan pergi bekerja di Singapura kerana nilai ringgit yang semakin susut ketika ini. Walaupun begitu saya percaya ramai jururawat yang masih mahu berkhidmat di negara ini.
“Difahamkan antara sebab jururawat kita berkerja di Singapura kerana menerima gaji seperti gaji seorang doktor pakar di Malaysia apabila sudah ditukar mata wang,” katanya ketika Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Pusat Konvensyen Persada Antarabangsa, di sini hari ini.
Tian Soon berkata, setakat ini, terdapat 12,533 jururawat di negeri ini melibatkan 8,777 jururawat yang berkhidmat di hospital kerajaan, 19 berstatus jururawat kontrak dan 3,737 adalah jururawat di hospital swasta.
“Jumlah perjawatan bagi jururawat di negeri ini sudah 98 peratus diisi tetapi masih lagi tidak cukup memandangkan program kesihatan dan perkhidmatan semakin bertambah selain hospital baharu yang perlukan jururawat,” katanya.
Menurutnya, pertemuan dengan Khairy nanti akan membincangkan kaedah serta tawaran terbaik bagi mengatasi masalah itu.
Jelas beliau, ini termasuk memberikan tawaran yang baik kepada jururawat dan doktor dalam masa sama menghalang mereka daripada terus berhijrah ke republik tersebut.
Antara yang akan dicadangkan dalam pertemuan itu nanti, katanya, menawarkan lepasan universiti untuk mengambil kursus kejururawatan sebelum menyerap mereka dalam sektor perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
“Tahap keperluan jururawat di negeri ini masih belum kritikal tetapi ketidakcukupan itu perlu diisi supaya perkhidmatan kesihatan tidak terjejas selain dapat memberikan perkhidmatan terbaik dan berkesan,” katanya. –UTUSAN ONLINE