Proses pengundian 13 cabang PKR Pulau Pinang lancar - Utusan Malaysia

Proses pengundian 13 cabang PKR Pulau Pinang lancar

MUHAMMAD BAKHTIAR Wan Chik ketika meninjau proses pemilihan Keadilan 2022 bagi cabang Balik Pulau, di Dewan Balora Mastika, di Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 13 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri ini mengadakan pengundian secara fizikal bagi pemilihan peringkat cabang parti itu untuk tahun ini yang berlangsung hari ini.

Pengerusi Majlis Keadilan Negeri Pulau Pinang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, kira-kira 30 peratus daripada 75,000 ahli PKR Pulau Pinang menjalankan pengundian secara fizikal bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

”Setakat ini kami mendapati proses pengundian di kesemua cabang berjalan lancar tanpa berlaku kekecohan serius.

”Pengundian bagi anggota PKR yang mendaftar sebagai Pengundi Atas Talian (PAT) boleh dilakukan menerusi apps ADIL yang dijadualkan bermula dari 18 hingga 20 Mei serentak di seluruh negara,” katanya selepas meninjau pusat pengundian cabang Balik Pulau di Dewan Balora Mastika, di sini hari ini.

Selain Balik Pulau, sebanyak 12 cabang lain yang mengadakan  sesi pemilihan secara fizikal itu adalah Kepala Batas; Tasek Gelugor; Bagan; Permatang Pauh; Bukit Mertajam; Batu Kawan; Nibong Tebal; Bukit Bendera; Tanjong; Jelutong, Bukit Gelugor dan Bayan Baru.

PKR mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu menghadapi PRU-15.

Antara negeri yang telah mengadakan pengundian secara fizikal ialah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, Pahang dan Wilayah Persekutuan manakala hari ini pengundian fizikal dijalankan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.

Untuk Selangor, negeri yang dicatatkan paling ramai ahli ditetapkan pengundian pada 21 Mei dan Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei ini.

Menurut Muhammad Bakhtiar, antara cabang yang dijangka ‘panas’ adalah Bayan Baru yang melibatkan pertembungan dua penjuru antara dua pemimpin tempatan.

”Di Bayan Baru sengit sedikit sebab ada dua tokoh besar iaitu Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Exco kerajaan negeri iaitu Datuk Abdul Halim Hussain.

”Saya akan tinjau proses pengundian di situ selepas berada di cabang Balik Pulau, setakat ini kita dengar semuanya berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya