PICKids dilanjut 31 Mei sebelum kos tanggung sendiri 

PICKids dilanjut 31 Mei sebelum kos tanggung sendiri 

PICKids
NOOR AZMI GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) bagi pemberian vaksin dos pertama dilanjutkan sehingga  31 Mei ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, keputusan itu dibuat Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada Selasa lalu dengan mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, tindakan ini memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak mereka. 

“Bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei lalu dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut. 

“Selepas 31 Mei ini, kanak-kanak tidak lagi ditawarkan vaksin secara percuma di bawah PICKids yang mana mereka perlu mendapatkan vaksin yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azmi berkata, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei ini, boleh meneruskan janji temu yang dipilih. 

Katanya, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei ini, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik. 

“Maka, ibu bapa terbabit boleh membawa anak mendapatkan vaksinasi Covid-19 secara walk-in di Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bermula 16 hingga 31 Mei ini, vaksinasi dos pertama bagi kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun akan diberikan di Klinik Kesihatan KKM secara walk-in.

Katanya, ibu bapa yang telah mendaftar anak mereka sebelum 8 Mei tetapi tidak mendapat pautan janji temu, boleh terus ke Klinik Kesihatan KKM yang berdekatan secara walk-in selewat-lewatnya pada 31 Mei ini.

“Bagaimanapun, keputusan ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 15 Mei 2022.

“Ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori ini boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023. Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023,” katanya.

Tambahnya, pengecualian diberikan kepada kanak-kanak yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 kerana mereka dijangkiti Covid-19. 

“Mengambil kira komplikasi MIS-C yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke Klinik Kesihatan dalam tempoh enam minggu selepas sembuh dari jangkitan, ataupun, selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2022,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya