PETALING JAYA : Pengorbanan besar guru ketika pandemik Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan sesekali dilupakan oleh semua pihak.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika itu murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya tersebut.
“Bagaimanapun warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.
“Kerajaan juga memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin mendoakan para guru agar sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.
“Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti anda selama ini.
“Sempena sambutan Hari Guru, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” katanya.
Muhyiddin kemudian menyeru sambutan Hari Guru di sekolah dapat mengeratkan lagi silaturrahim sesama guru atau dengan anak murid.
“Saya pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan termasuk Hari Guru,” katanya. – UTUSAN