PONTIAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu segera membina benteng pemecah ombak bagi mengelak hakisan yang lebih teruk di perumahan Taman Sri Pantai, Rimba Terjun, di sini.
Wakil penduduk Taman Sri Pantai, Omar Md. Yatim, 71, berkata, mereka amat berharap kebimbangan penduduk yang mendiami perumahan tersebut selama 30 tahun dapat dileraikan dengan segera.
Katanya, jika tiada sebarang usaha dilakukan sama ada pembinaan benteng pemecah ombak atau benteng bagi menahan hakisan, kejadian tersebut dikhuatiri semakin bertambah buruk pada setiap tahun.
“Ketika ini tiada lagi pokok-pokok bakau yang berfungsi sebagai ‘penampan’ dan tentu akan lebih memudahkan berlakunya kejadian hakisan pantai seperti itu.
“Kami bimbang hakisan tersebut semakin menghampiri kawasan penempatan penduduk dan menyebabkan kami ‘terganggu’ terutama ketika musim tengkujuh dan air pasang besar,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ketua Kampung Mukim Rimba Terjun, Daud Sanusi berkata, projek pembinaan benteng pemecah ombak telah dicadang pada tahun 2016 dengan kos RM2.6 juta.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak tahu mengapa projek tersebut tidak dapat dilaksanakan sehingga menyebabkan keluasan kawasan hakisan semakin bertambah dari setahun ke setahun.
“Setelah enam tahun berlalu, kos pembinaan mungkin telah bertambah sekali ganda, namun keselamatan penduduk lebih utama bagi mengatasi isu tersebut daripada terus berpanjangan,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, hakisan tersebut menyebabkan kira-kira 150 keluarga dilanda kebimbangansetiap masa.
Katanya, hakisan sepanjang 250 meter memerlukan tindakan segera bagi mengelak lebih banyak kawasan mengalami kejadian sama walaupun kos pembinaan benteng pemecah ombak adalah tinggi.
Menurut beliau, satu benteng pemecah ombak sepanjang 200 meter telah dibina berdekatan dengan Taman Sri Pantai sebelum ini yang telah dapat menghalang berlakunya kejadian seperti itu.
“Saya akan membawa perkara ini kepada pihak kementerian berkenaan supaya isu ini diberikan perhatian yang lebih bagi membolehkan satu peruntukkan disediakan untuk pelaksanaan projek ini.
“Menurut penduduk kerja-kerja penebangan pokok bakau serta pembangunan Pusat Perdagangan Pontian melalui kerja-kerja tebus guna tanah menyebabkan arus air beralih ke kawasan ini,” katanya.
Tambah Jefridin, isu hakisan pantai ini telah dibentangkan ketika lawatan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke daerah berkenaan baru-baru ini supaya kerajaan negeri turut memberikan perhatian mengenainya.