LUMUT: Seorang pembantu restoran dihukum penjara 18 bulan selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan melakukan khianat terhadap kereta peronda polis dan menghalang anggota polis menahannya, dalam kejadian di Seri Manjung, kira-kira tujuh hari lalu.
Shahrul Nizam Mohammad Shuhaimi, 32, didakwa melakukan khianat dengan melanggar bahagian hadapan sebelah kiri kereta polis sehingga menyebabkan kerugian RM1,200 di hadapan bangunan Toyota Seri Manjung, antara pukul 8.40 hingga 9.40 pagi pada 4 Mei lalu.
Dia dituduh di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa tidak memberi kerjasama, menghalang penjawat awam yang sedang melakukan tugas, sengaja tidak memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif bertujuan menghalang pihak polis melakukan tangkapan di hadapan Restoran Horizon Garden, Seri Manjung, pada masa dan tarikh sama.
Untuk tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 kanun sama yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret A Hafiizh Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan itu.
Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap.
Pendakwaan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Norjihan Jaya manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Amani Williams Hunt Abdullah.
Shahrul Nizam yang berasal dari Kuantan, Pahang, juga mengaku bersalah mengambil dadah jenis methampetamine berdasarkan saringan awal air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada 4 Mei lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis selama tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Majistret A Hafiizh menetapkan 4 Julai depan untuk kes itu disebut semula bagi mendapatkan laporan kimia bagi hasil saringan tersebut.
Terdahulu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak merayu diberi hukuman penjara dalam tempoh singkat kerana menjadi penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan di sebuah restoran di kawasan Pulau Marina, Teluk Muroh dekat sini.
Mengikut fakta kes, tertuduh memandu sebuah kereta Perodua Kancil dengan laju termasuk melanggar lampu isyarat dengan dikejar kereta peronda polis dan enggan memberhentikan kenderaan walaupun diminta berbuat demikian dan menyalakan lampu siren polis.
Tertuduh berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis. – UTUSAN