KAMPAR: Polis menahan seorang lelaki yang memandu Honda CRV kerana disyaki menghalang laluan ambulans di Kilometer 292, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.
Kejadian itu yang dirakam video berdurasi 37 saat itu tular selepas dimuat naik pengguna media sosial di laman Facebook semalam yang memaparkan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu enggan memberi laluan kepada ambulans hingga memaksa kenderaan berkenaan ‘beralah’ dan beralih ke lorong kiri.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu dan pemilik SUV itu telah diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar hari ini untuk siasatan lanjut setelah kenderaan terlibat berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kampar.
Katanya, hasil siasatan mendapati, pemandu kenderaan berusia 62 tahun itu mengalami masalah pendengaran ‘Tinnitus-Acoustic Neuroma’ sejak tiga tahun lalu.
“Lelaki itu juga masih menerima rawatan lanjut daripada pakar berkaitan penyakit berkenaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM).
“Siasatan lanjut kes berkenaan sedang dijalankan dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pemandu kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi dan penguatkuasaan trafik bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya di daerah Kampar. – UTUSAN