Pekebun getah beralih tanam kelapa sawit - Utusan Malaysia

Pekebun getah beralih tanam kelapa sawit

JOHARI Seman mengusahakan tanaman kelapa sawit di Kampung Jelutung, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Peningkatan harga minyak sawit mentah ketika ini menggembirakan pekebun kecil kelapa sawit di daerah ini kerana memberi pulangan pendapatan lebih tinggi.

Pendapatan lumayan itu menyebabkan ramai pekebun kecil getah mula ‘cemburu’ dengan hasil dikutip penanam kelapa sawit hingga menyebabkan mereka beralih kepada tanaman kelapa sawit.

Johari Seman, 52, dari Kampung Jelutung, Kuala Nerang di sini berkata, pendapatan hasil getah yang tidak menentu sejak dahulu lagi menyebabkan dia kini beralih menanam kelapa sawit.

Katanya, difahamkan dulu tanah di utara Kedah terutamanya Padang Terap tidak sesuai dengan tanaman kelapa sawit sehingga menyebabkan ramai penduduk berminat menanam getah.

“Bagaimanapun dengan masalah cuaca dan harga tidak menentu sejak dahulu lagi saya kini beralih kepada tanaman kelapa sawit. Dahulunya semasa menanam getah saya hanya mampu memperolehi sebanyak RM400 hingga RM500 sebulan.

“Kini selepas menanam kelapa sawit saya memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 sebulan bagi tanah seluas sehektar,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penanam kelapa sawit, Zubir Othman, 54, dari Kampung Jelutung di sini pula berkata, selama bergelar sebagai pekebun getah dia dan keluarganya sering menghadapi masalah kewangan .

Katanya, setiap musim hujan dan kemarau mereka tidak dapat menoreh kerana pokok getah seluas 1.5 hektar yang diusakannya itu tidak mengeluarkan susu getah yang banyak.

“Boleh dikatakan sepanjang tahun kami boleh menoreh hanya lima bulan sahaja dan selebihnya terpaksa tinggalkan pokok begitu sahaja kerana masalah cuaca.

“Ini berbanding dengan tanaman kelapa sawit yang mampu menjana pendapatan lebih baik pada setiap bulan kerana tidak kira musim panas atau hujan.

“Sebelum ini hasil pendapatan getah saya hanya mampu memperolehi RM600 hingga RM800 sebulan. Apabila musim hujan saya terpaksa menggantung pisau menoreh kerana tidak dapat bekerja, berbanding dengan kelapa yang mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Sementara, pendapatan yang lumayan daripada kelapa sawit menyebabkan Mohd. Razali Ahmad, 65, dari Pokok Sena turut berminat beralih tanaman getah kepada kelapa sawit.

Katanya, selepas hampir 40 tahun bergelar penoreh pelbagai pahit maung pernah dirasainya dan tidak mahu lagi kerja itu diwarisi oleh anak-anaknya pada hari ini.

“Jika dibandingkan dengan harga getah sejak dahulu lagi harganya tidak pernah menggembirakan penoreh getah walaupun pelbagai janji ditaburkan.

“Setiap tahun penoreh terpaksa menunggu bantuan on off daripada kerajaan kerana masalah tidak dapat menoreh getah . Sampai bila kehidupan kami akan mengharap bantuan kerajaan.

“Oleh itu sudah sampai masanya pekebun kecil seperti saya perlu berhijrah kerana tanaman kelapa sawit boleh menjaminkan masa hadapan yang lebih baik kepada keluarga kami nanti,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya