MELAKA: Seorang warga emas sempat mengadu kepada isterinya mengenai derita penyakit yang ditanggung, sebelum bertindak terjun dari sebuah pangsapuri 14 tingkat di Banda Hilir di sini, pagi tadi.
Mayat lelaki berusia 67 tahun itu ditemui orang awam kira-kira pukul 8.45 pagi tadi sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, si mati yang beralamat di Taman Pengkalan Jaya, Ayer Molek ke lokasi dengan memandu kereta jenis Hyundai Atoz miliknya.
“Kita percaya si mati sengaja ke pangsapuri itu untuk terjun dari bangunan tersebut.
“Hasil soal siasat bersama isterinya, si mati dikatakan ada mengadu tidak tahan menanggung penyakit yang dihidapinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, difahamkan si mati bagaimanapun hanya menghidap penyakit tua.
“Dimaklumkan dia sakit tua, apa-apa pun kena tunggu hasil laporan bedah siasat.
“Mayat si mati telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE