Orang Kelantan balik kampung tapi duduk hotel - Utusan Malaysia

Orang Kelantan balik kampung tapi duduk hotel

KAKITANGAN resort menyiapkan dekorasi untuk bufet Ramadan di TABBR, Pasir Puteh. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Budaya balik kampung tetapi menginap di hotel’ kini dikatakan antara pilihan popular kebanyakan perantau yang pulang beraya di Kelantan pada Aidilfitri kali ini.

Semakan Utusan Malaysia mendapati, tempahan bilik di hotel dan resort utama di negeri ini bagi tempoh menginap bermula hari ini sehingga sekurang-kurangnya 3 Syawal sudah hampir 100 peratus penuh.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Grand Renai Kota Bharu, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, tempahan diterima bermula awal Ramadan lagi dan semakin rancak sejak seminggu lalu.

Menurut beliau, antara faktor budaya tersebut semakin popular adalah kerana lokasi perantau menginap masih boleh dianggap dekat dengan kampung, sekali gus memudahkan mereka berulang alik.

“Perantau juga memilih menginap di hotel kerana lebih mudah untuk mereka keluar membeli-belah di sekitar Kota Bharu pada bila-bila masa tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

“Selain itu, ia ada kaitan dengan kesedaran menjaga aurat dan batas pergaulan, terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga besar tetapi bilangan bilik di kampung terhad,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kata Raja Rusmin lagi, bagi menggalakkan lebih ramai kakitangan hotel bertugas pada musim perayaan kali ini, pihak pengurusan memutuskan untuk menawarkan insentif dan kadar elaun lebih lumayan.

Eksekutif Jualan dan Pemasaran Tok Aman Bali Beach Resort (TABBR), Wan Zulhilme Wan Zahid pula berkata, 100 bilik ditawarkan pihaknya pada harga RM210 hingga RM500 satu malam pada 1 dan 2 Syawal sudah mencapai 95 peratus.

“Kami menawarkan bufet dan menu bertemakan Warisan Bonda serta kambing bakar ala-China sebagai daya penarik untuk penginap berbuka puasa bersama keluarga pada hari-hari akhir Ramadan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha sebuah resort dan inap desa persendirian di Pasir Puteh, Aiman Razali juga memberitahu, kesemua bilik dan rumah penginapan disediakannya sudah penuh ditempah bermula hari ini hingga 12 Mei depan. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya