PUTRAJAYA: Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bersetuju dengan Mutual Recognition of Covid-19 Vaccination Certificates atau Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan selamat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, persetujuan itu dinyatakan menerusi Sesi Perbincangan Khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 berlangsung di Bali, Indonesia semalam.
“Pengiktirafan ini akan dilaksanakan menggunakan ASEAN Universal Verification Mechanism atau mekanisma lain yang telah dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Ia bertujuan untuk memudahkan urusan pengesahan sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan setiap negara anggota ASEAN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pembangunan ASEAN Universal Verification Mechanism ini dan Malaysia berpandangan bahawa sistem yang dilaksanakan secara sukarela ini berpotensi tinggi untuk menyokong negara-negara anggota ASEAN yang belum lagi mempunyai sistem verifikasi sijil vaksinasi Covid-19.
“Ia penting bagi melancarkan pembukaan sempadan dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ASEAN daripada Covid-19.
“Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dalam melaksanakan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi negara anggota ASEAN untuk memastikan pembangunan rantau ASEAN yang lebih sihat dan selamat, selain menjamin kelangsungan hidup rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Aaron berkata, bermula 11 Mei hingga hari ini, mesyuarat AHMM ke-15 telah berlangsung di Bali, Indoensia dengan tema Advancing the Achievements of ASEAN Health Development, yang memberi fokus terhadap pengukuhan daya tahan sistem kesihatan dan pemulihan ASEAN daripada Covid-19.
Katanya, Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN itu diketuai oleh beliau dan diiringi pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, beliau berkata, Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama di platform ASEAN dan ASEAN Plus Three (Republik Korea, Jepun dan China) dalam usaha mengukuhkan daya tahan (resilient) sistem kesihatan dan pemulihan pasca-pandemik Covid-19 di rantau ASEAN serta menjadi rakan dialog ASEAN.
“Malaysia juga menyokong penuh pembangunan dan pelaksanaan ASEAN-Post 2015 Health Development Agenda (APHDA) dan program serta aktiviti di bawah Kluster Kesihatan ASEAN,” katanya. –UTUSAN ONLINE