MBSP mahu projek Robina Eco Park Fasa III diteruskan - Utusan Malaysia

MBSP mahu projek Robina Eco Park Fasa III diteruskan

DATARAN 'food truck' antara kemudahan baharu yang disediakan kepada pengunjung di Robina Eco Park, Butterworth, Pulau Pinang ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mahu projek pembangunan taman rekreasi, Robina Eco Park untuk fasa ketiga diteruskan bagi membolehkan laluan berbasikal sepanjang pantai iaitu sehingga ke kawasan Pantai Bersih di sini dibina untuk kemudahan pengunjung.

Cadangan itu dibuat selepas lengkapnya pembinaan fasa pertama dan kedua projek membangunkan serta menaik taraf taman rekreasi tersebut yang menelan kos lebih daripada RM3.4 juta.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan keseluruhan Robina Eco Park sebagai pusat rekreasi dan pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong khususnya domestik.

“Saya memohon kerajaan negeri boleh mempertimbangkan dan memberikan kelulusan peruntukan bagi membiayai pembangunan Robina Eco Park Fasa III ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Robina Eco Park Fasa II kelmarin yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Projek Robina Eco Park Fasa II adalah kesinambungan daripada projek Robina Eco Park Fasa I yang berpaksikan kepada orientasi keluarga dengan menekankan konsep ekopelancongan sambil beriadah.

Projek fasa kedua itu bagaimanapun lebih menekankan pembinaan komponen-komponen seperti dataran ‘food truck’, kompleks makanan serta pentas terbuka.

Ia juga bagi membantu golongan peniaga yang terjejas khususnya daripada yang berpendapatan rendah atau B40 untuk meningkat serta memulihkan ekonomi masing-masing ketika fasa peralihan ke endemik ini.

Dalam pada itu, Azhar yakin Robina Eco Park akan menarik kehadiran lebih ramai pengunjung selepas siapnya pembangunan fasa kedua tersebut.

“Selain kemudahan-kemudahan yang disediakan di sini, tarikan lain ialah kawasan pesisiran pantai berpasir sepanjang satu kilometer yang cantik dan menghadap pulau serta boleh diakses oleh orang ramai.

“Pada masa  sama, taman rekreasi ini juga menjadi pilihan pengunjung untuk menikmati panorama matahari terbenam selain dari kawasan Hentian Rehat Bagan Ajam dan Kuala Muda,” katanya.

Tambah Azhar, tarikan lain ialah wujudnya sudut fotografi yang mempunyai lukisan mural potret pemimpin tempatan dan mural berkonsepkan flora dan fauna yang dilukis oleh artis tempatan. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya