PETALING JAYA: Mangsa buli bukan sahaja menderita di alam persekolahan tetapi sebaliknya tragedi itu akan terus dirasai sepanjang hayat hingga menyebabkan mereka susah untuk menjalani hidup seperti individu lain.
Kebanyakan mangsa buli akan menghadapi kesukaran bersosial dan lebih memilih untuk mengurung diri di dalam bilik kerana tidak lagi percaya kepada individu lain untuk menjalin hubungan sebagai kawan.
Seorang mangsa buli, 30, yang berasal dari Sarawak dan namanya enggan disiarkan berkata, walaupun sudah melebihi 10 tahun menghabiskan zaman persekolahan tetapi dirinya masih ‘dihantui’ masa silam hingga membuatkan dirinya tidak mempunyai banyak kawan.
Katanya, hidupnya kini hanya bergerak dari rumah ke tempat kerja, tidak melakukan apa-apa aktiviti sosial seperti beriadah dan sebagainya kerana berasa cemas apabila mendekati orang lain terutama individu tidak dikenali.
“Semasa zaman sekolah saya sering diperas ugut oleh pembuli, setiap hari kena bagi mereka duit, kalau tidak saya akan dipukul di tandas sekolah. Detik hitam itu membuatkan saya sanggup ponteng sekolah kerana bimbang akan diganggu.
“Sehingga kini saya trauma dan sebab itu saya tidak mempunyai banyak kawan, bimbang jika terlampau dekat, saya akan menghadapi situasi sama, jadi lebih baik saya bersendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar melaporkan, pihak polis menerima tiga laporan pada Sabtu lalu berhubung kejadian pelajar tingkatan dua cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dibuli pelajar senior di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh di Nilai, Negeri Sembilan.
Susulan itu, seramai 30 pelajar telah diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes buli tersebut.
Sementara itu, masalah sama turut dirasai oleh seorang wanita dari Johor yang turut terpaksa menghadapi detik-detik dibuli ketika menjalani zaman persekolahan.
Jelasnya, sejak di bangku sekolah lagi, dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke negeri lain bagi memulakan hidup barunya dan jauh daripada pembuli-pembuli.
“Memang zaman sekolah lagi saya nak keluar dari kawasan sana, saya nak ke negeri yang mana seorang pun tak kenal saya. Sekarang saya berada di Kuala Lumpur, alhamdulilah tidak menghadapi perkara lalu tetapi saya masih berjaga-jaga dalam berkawan.
“Sebabnya pembuli saya dulu juga awalnya saya anggap kawan tetapi lama-kelamaan berubah menjadi orang yang paling saya benci, setiap kelemahan saya pasti dia tahu hingga membuatkan saya tidak tenteram,” katanya.-UTUSAN ONLINE